Jenayah

Padah langgar lampu isyarat

Keadaan kereta mangsa yang hancur remuk setelah dirempuh sebuah lori:-

BAGAN SERAI – Gara-gara cuba melanggar lampu isyarat merah, seorang pemandu kereta nyaris maut apabila kenderaan dipandunya remuk dirempuh sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Kilometer 109.5 Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth, di sini, kelmarin.

Mangsa, Khaidir Mohd Noor, 54, yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Kurau menuju ke Taiping, dirempuh sebuah lori di sebuah persimpangan berlampu isyarat secara tiba-tiba dalam kejadian sekitar jam 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kemalangan itu berpunca daripada tindakan pemandu lori yang dikatakan melanggar lampu isyarat berwarna merah seterusnya melanggar bahagian hadapan kereta mangsa.

“Pemandu lori difahamkan bertindak memecut kenderaannya sejurus lampu isyarat berwarna merah bertukar hijau, bagaimanapun lampu isyarat itu sebenarnya menunjukkan arah ke kiri menghala ke Jalan Siakap, di sini.

“Sebagai akibatnya kereta dipandu mangsa yang sedang bergerak dilanggar kuat di bahagian hadapan oleh lori itu.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu berkenaan hanya sekadar mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Bagan Serai,” katanya sewaktu dihubungi media, di sini.

Sinar Harian turut difahamkan beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai terpaksa bertungkus-lumus dan mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa pemandu kereta yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");