Jenayah

Jenazah Tiga Beradik Lemas Dikebumi Dalam Satu Liang Lahad

PASIR MAS: Jenazah tiga beradik yang lemas ketika mandi di Sungai Golok, Rantau Panjang semalam, selamat dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian 4 petang itu ialah Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, Muhammad Syahmi, 6, dan Muhammad Irfan Syahmi, 4.

Suasana pilu menyelubungi rumah keluarga mangsa apabila sanak saudara dan orang ramai menziarahi jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Ketika ditemui pemberita, ibu mangsa, Nur Asyikin Abdul Rahman, 41, berkata kejadian itu perit untuk dikenang kerana suaminya juga meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Kali terakhir beliau bertemu tiga anaknya itu ialah pada 1.30 tengah hari semalam sebelum meninggalkan rumah bagi mengikuti bengkel di Tadika Kemas Cempaka Sari, Gual Sintok di sini.

Nur Asyikin, yang bertugas sebagai guru di Tadika Kemas Kampung Rahmat, tidak menyangka kejadian itu akan menimpa ketiga-tiga anaknya, namun beliau reda dengan ketentuan Tuhan.

Beliau berkata Muhammad Zulhilmi, yang dipanggil ‘Abang’ dan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Rahmat, bercita-cita menjadi seorang jurutera dan Muhammad Syahmi, yang dipanggil ‘Adik’, ingin menjadi juruterbang manakala anak bongsu, Muhammad Irfan Syahmi, atau ‘Baby’, pula mahu menjadi seorang anggota polis.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");