Membawang Hari Ini

‘Nyanyian Maut’ sarat emosi

TEATER Nyanyian Maut yang diangkat daripada karya Taufiq Al Hakim berlangsung dengan jayanya di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), baru-baru ini.

Pementasan yang penuh dengan emosi ini diarahkan oleh Shariful Akma Abdullah sempena Penilaian Tahun Akhir (PeTA) bagi pelajar tahun akhir Diploma Teater.

Dibarisi Taufiq Izmir Tawaff, Afiq Azhar Ali, Sharifah Nordiana Maihan Syed Shaikh dan Puteri Noor Faten Farah Aroha Ibrahim, teater ini mengetengahkan kisah suka duka sebuah keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat perbalahan antara suku kaum Azizi dan Suweilam Tahawi di pinggir kota Kaherah, Mesir.

Sepanjang dua jam pementasan, teater ini sarat dengan emosi, terutamanya menerusi babak kedua- di mana pertemuan si ibu (Asakir) dan anak (Alwan) setelah 17 berpisah lamanya. Lakonan berkesan mereka benar-benar meruntun jiwa penonton sehingga ada yang menitiskan air mata.

Bagaimanapun, pertemuan mereka akhirnya mengundang beberapa tragedi. Alwan yang enggan mengikut adat suku kaumnya dihalau dari rumah dan dibunuh atas arahan ibunya sendiri.

Babak ini jelas menunjukkan betapa sesetengah kaum sanggup mempertahankan adat seperti mana pepatah ‘biar mati anak, jangan mati adat’.

Secara ironinya, teater ini memberi sindiran terhadap sesetengah kaum yang masih mengekalkan adat sehingga sanggup berbunuhan antara satu sama lain.

Beralih terhadap latar dan prop, meskipun tanpa penggunaan peralatan yang canggih, usaha mereka tetap harus dipuji. Memilih latar padang pasir berserta beberapa peralatan seperti batu, rumah kecil, cerek dan parang, ia sudah mampu menimbulkan penceritaan dan suasana masyarakat Arab.

Dengan peralatan secara minima, mereka juga mampu melakukan persembahan yang menarik ditambah pula dengan alunan muzik tradisional ala-ala padang pasir.

Lakonan pelajar boleh dikatakan setanding dengan persembahan teater yang dilakonkan golongan profesional.

Secara keseluruhannya, persembahan ini sangat menarik ditonton kerana sarat dengan pelbagai elemen sehinggakan penonton tidak berganjak dari tempat duduk sehingga ke akhir.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");