Isu Panas

Pengaman kesal tindakan aktivis depan Parlimen

Yayasan Pengaman Malaysia (Pengaman) dan para pesara Polis Diraja Malaysia kesal dengan tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang membuat rusuhan di hadapan bangunan Parlimen ketika majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat, kelmarin.

Pengurus Besarnya, Azura Izham berkata rusuhan itu seolah-olah mencabar kedaulatan negara dan cuba mewujudkan keganasan selain mencemarkan imej Malaysia yang terkenal di mata dunia sebagai negara yang aman.

“Rusuhan anjuran pembangkang ini telah menimbulkan kekecohan. Keadaan kacau bilau yang dicetuskan ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menyebabkan anggota polis tercedera.

“Situasi ini menyebabkan Pengaman bangkit untuk menyatakan kekesalan terhadap apa yang telah dilakukan oleh perusuh di Padang Merbok itu,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Selasa.

Azura berkata masyarakat perlu sedar bahawa tindakan itu merupakan perbuatan yang sia-sia dan menimbulkan pelbagai masalah kepada negara serta orang awam.

Berikutan kekecohan itu, polis menahan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Badrul Hisham Shaharin dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim serta 30 peserta ‘Black 505’ termasuk tiga wanita semalam.

Azura berkata masyarakat harus menghormati kedaulatan negara dan keputusan yang dibuat menerusi proses demokrasi.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");