Isu Panas

PRK Kuala Besut paling tenang: Timbalan Pengerusi SPR

besut prk

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut sebagai PRK paling tenang pernah dilihatnya sepanjang berkhidmat dengan SPR.

Beliau berkata, suasana PRK itu terkawal dan penyokong kedua-dua parti yang bertanding juga tidak melakukan sebarang tindakan atau kelakuan yang boleh mengganggu kelancaran proses pengundian.

“Malah di luar pagar (pusat pengundian) pun tiada (perayu undi) yang menjerit-jerit sehingga mengganggu pengundi yang datang.

“Semuanya menghormati bulan Ramadan. Itu yang menyebabkan saya seronok melihat sikap pengundi di sini yang boleh dijadikan contoh untuk pilihan raya selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Peroi, di Kuala Besut, hari ini.

Beliau yang meluangkan masa bertanya khabar dengan warga SPR yang bertugas, juga memberitahu setakat ini tidak menerima sebarang aduan berhubung proses pengundian yang sedang berlangsung.

Wan Ahmad juga optimis sasaran 75 peratus daripada jumlah keseluruhan 16,534 pengundi boleh dicapai kerana dalam tempoh satu jam pertama pusat pengundian dibuka kira-kira 15 peratus sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

“Jika kita dapat tambahan lima peratus untuk setiap jam sehingga pusat pengundian ditutup, kita boleh capai lebih (daripada sasaran) iaitu 80 peratus,” katanya.
Beliau seterusnya melawat pusat pengundian kedua SK Kampung Nangka di sini, sebelum meneruskan lawatan ke SK Kampung Baharu dan SK Bukit Puteri.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang turut meluangkan masa meninjau perjalanan proses pilihan raya hari ini berpuas hati dengan kelancaran proses pengundian serta bersyukur kerana keadaan terkawal.

Pengerusi UMNO Terengganu itu juga menyeru penyokong kedua-dua parti bertanding agar meneruskan sikap tenang mereka sehingga proses pilihan raya kecil berkenaan selesai.

“Keluarlah mengundi dengan aman dalam menunaikan tanggungjawab di sebuah negara demokrasi,” katanya kepada pemberita di luar pusat mengundi di SK Kampung Baharu, di sini, hari ini.

Beliau yang ditemani isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud turut sempat bersalaman dengan penyokong kedua-dua parti.

PRK Kuala Besut yang menyaksikan pertandingan antara calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS, Endot@Azlan Yusof diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar daripada BN pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");