Berita Hari Ini

PRK: Polis terima 8 permohonan ceramah

kuala besut prk

KUALA BESUT: Polis sehingga kini menerima lapan permohonan permit untuk mengadakan ceramah sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, kata Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria.

Namun, katanya, enam ceramah dibatalkan oleh pihak penganjur di saat-saat akhir walaupun permit yang dipohon diluluskan.

“Hanya dua ceramah berbentuk tayangan video berlangsung dengan aman tanpa ada apa-apa insiden,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Kamaruddin turut mengingatkan calon yang berkempen di tempat awam seperti bazar Ramadan dan pasar borong agar sensitif dengan hak orang lain.

Kepentingan pembeli dan peniaga harus dijaga supaya tidak ada halangan untuk mereka berurusan dengan kehadiran calon dan penyokong yang ramai di kawasan tersebut, katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata pegawai polis trafik yang kehilangan kaki akibat kemalangan di Kampung Alor Peroi di sini semalam ketika bertugas sempena PRK Kuala Besut itu masih tidak dapat menerima kenyataan sudah menjadi cacat.

Katanya ketika menziarahi Insp Farid Hasni Mamat, 33, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian semalam, mangsa seolah-olah meracau dan sering menyebut bahawa dia sudah cacat.

“Kami hanya boleh beri kata-kata semangat dan berharap mangsa dan keluarga tabah dengan ujian ini,” katanya dan menambah mangsa yang masih dirawat di HUSM itu dilaporkan stabil.

Insiden kira-kira 4.40 petang itu berlaku ketika mangsa yang dipinjam dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bersama seorang lagi pegawai trafik sedang membuat rondaan di pusat pengundian sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan itu kaki kanan mangsa dari paras bawah lutut putus dan tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kemalangan berlaku.

Kamarudin berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berusia 19 tahun yang melanggar mangsa memotong di garisan berkembar sebelum merempuh mangsa. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");