Berita Hari Ini

Sasar 10 peratus KDNK pada 2020

 

PASIR GUDANG: Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad (KPMNJ) merancang memberi tumpuan kepada projek berimpak tinggi sebagai usaha mencapai sasaran 10 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Pengerusinya, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, beberapa projek dikenal pasti berimpak tinggi yang mampu mendatangkan pulangan lebih lumayan antaranya perladangan, kewangan Islam, peruncitan serta pemborongan, perkhidmatan pengangkutan awam dan perhotelan.

Menurutnya, KPMNJ juga sedang mencari peluang untuk melibatkan diri dalam bidang hartanah yang dilihat akan memberikan pulangan tinggi selain memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sehingga pertengahan tahun ini, sumbangan koperasi untuk KDNK baru 0.8 peratus berbanding sasaran tiga peratus sepanjang tahun ini.

“Kita kena lipat gandakan lagi usaha untuk mencapai sasaran tiga peratus pada tahun ini dan seterusnya menyumbang 10 peratus menjelang 2020 melalui perancangan projek berimpak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali ke-18 KPMNJ, di sini, semalam.

Mohamad Ali berkata, KPMNJ adalah antara koperasi yang aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan ahli mencecah sehingga 9,000 orang dan sebanyak 14 syarikat menjadi ahli koperasi.

Pada majlis itu, KPMNJ turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM7,474 kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia dan sumbangan kepada anak-anak ahli koperasi yang cemerlang dalam pelajaran.

Dalam pada itu, Mohamad Ali memohon kerajaan negeri menimbang semula permohonan KPMNJ untuk tanah yang dijanjikan, selain tanah-tanah terbiar untuk dibangunkan secara sendiri atau bersama pihak berkepentingan.

Selain itu, beliau turut memohon agar kerajaan negeri memberi pihaknya ruang termasuk ekuiti di atas segala kegiatan pembangunan ekonomi di kawasan-kawasan seperti Iskandar Malaysia dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");