Perak Hari Ini

Sokongan Rakyat Terhadap BN Di DUN Pengkalan Baharu Kembali Meningkat

PERAKTODAY
Kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu dengan majoriti 2,505 undi membuktikan keyakinan rakyat terhadap pucuk kepimpinan parti baik di peringkat negeri mahupun Pusat.

Calon BN, Datuk Abd Manaf Hashim berjaya mengekalkan kemenangan BN pada pilihan raya 2008 selepas menewaskan calon PAS, Dr Khairudin Abdul Malik yang mendapat 5,776 undi manakala calon Bebas, Ahmad Nizam Ibrahim pula sekadar meraih 98 undi.

“Kejayaan BN mengekalkan kerusi DUN Pengkalan Baharu membuktikan kesetiaan pengundi untuk terus menyokong kepimpinan BN yang berpegang kepada slogan Janji Ditepati.

“Saya juga berharap kemenangan ini akan menjadi pendorong kepada saya untuk bekerja lebih kuat dalam tempoh lima tahun akan datang selain memberi khidmat terbaik kepada semua pengundi DUN Pengkalan Baharu,” katanya kepada Peraktoday.com.

Walaupun disenaraikan sebagai muka baru, kewibawaan Abd Manaf sebagai ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak sejak 2009 dan menganggotai Jawatankuasa Audit Lembaga Pengarah serta Ahli Lembaga Tatatertib di beberapa syarikat swasta memberi kelebihan kepadanya untuk membawa perubahan di kawasan itu.

Menyertai dunia politik sejak 1980an, beliau mengakui si ayah menjadi inspirasi buatnya menceburi bidang itu dan menganggap pendedahan berkaitan dunia politik oleh orang tuanya itu membuahkan hasil apabila beliau kini bergelar salah seorang wakil rakyat BN.

Ditanya mengenai visi atau perancangan di kawasan itu, beliau katanya, bercadang membangunkan kawasan Pengkalan Baharu sebagai lokasi tumpuan pelancong.

“Saya akan berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Radzi bagi membincangkan cadangan itu secara lebih terperinci,” katanya.

Beliau yang merangkap Ketua UMNO Bahagian Beruas memaklumkan pihaknya akan turut memberi tumpuan kepada rakyat miskin agar nasib dan kebajikan golongan itu sentiasa terjaga.

Masalah rakyat di kawasan itu akan terus didekati melalui program turun padang, katanya yang turut mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak untuk menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");