Berita Hari Ini

Tiada dokumen pengenalan

Kamariah bersama sebahagian anaknya yang tiada dokumen pengenalan diri.
Kamariah bersama sebahagian anaknya yang tiada dokumen pengenalan diri.

SEGAMAT: Seorang ibu 10 anak di Jementah, di sini, merayu pihak berkenaan membantu anaknya memperoleh kad pengenalan dan sijil kelahiran bagi memudahkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Kamariah Sahfie, 51, adalah warganegara Indonesia tetapi telah lama menetap di sini dan berstatus janda tanpa anak sebelum dia berkahwin dengan seorang rakyat tempatan pada 1985 di rumah kenalan suaminya dengan berwalikan bapa saudaranya ketika itu.

Kamariah turut mengakui terpaksa menyerahkan anak kelimanya kepada orang lain untuk dijaga disebabkan kesempitan hidup dialami dan hanya membesarkan sembilan anaknya yang kini berumur di antara 10 hingga 28 tahun.

“Hanya dua daripada sembilan anak yang saya pelihara ada kad pengenalan iaitu anak kedua dan keempat.

“Manakala, empat lagi hanya memiliki sijil kelahiran dan tiga yang lain tiada sijil lahir.

“Anak yang ada kad pengenalan diusahakan suami kerana saya tidak tahu proses pendaftaran di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, pada awal perkahwinan, dia dan suaminya ada pergi ke Pejabat Agama Segamat dan Mahkamah Syariah untuk mendapatkan sijil pernikahan yang sah.

Kamariah berkata, disebabkan ketiadaan sijil nikah, urusan mendapatkan dokumen pengenalan anaknya menjadi rumit kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memerlukan ia sebagai bukti pengesahan pernikahan mereka.

Sementara itu, anak ketiga Kamariah yang hanya mahu dikenali sebagai Syuhaida, 25, berkata, segalanya sukar bagi dirinya dan adik beradik yang lain untuk menjalani kehidupan seperti orang lain.

“Adik beradik yang tidak bersekolah langsung seramai lima orang termasuk saya disebabkan masalah ini.

“Bagaimana kami hendak bersekolah jika dokumen pengenalan diri pun tiada. Ada yang bersekolah tapi tidak dapat meneruskan pelajaran di peringkat menengah.

“Sekarang cuma adik saya yang nombor sembilan yang bersekolah dan adik yang paling bongsu langsung tidak bersekolah.

“Saya sendiri tidak pernah bersekolah dan Alhamdulillah sekurang-kurangnya saya pandai mengeja dan tidak buta huruf,” katanya.

Menurut Syuhaida, mujurlah ada majikan yang sudi mengambil dia dan adik beradiknya yang lain bekerja atas dasar simpati.

Kini dia bersama abangnya yang sulung dan seorang adiknya bekerja di sebuah kedai makan di Segamat manakala seorang lagi abangnya bekerja di Johor Bahru dan seorang lagi adiknya bekerja di pusat membeli belah di Segamat.

Sementara itu, Adun Jementah, Tan Chen Choon terkejut dengan masalah yang dihadapi keluarga berkenaan dan berdasarkan dokumen yang ada, beliau berasakan anak-anak Kamariah boleh memperoleh sijil pengenalan diri.

“Salinan yang diperlukan sudah diambil daripada keluarga ini dan saya akan cuba menyelesaikannya secara berperingkat.

“Ini kerana ada anak Kamariah yang langsung tidak mempunyai sebarang sijil pengenalan diri dan ini amat merumitkan saya serta mengambil masa,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");