Jenayah

Tidak serik 5 kali kena serbu

tak serikPegawai penguatkuasa MBAS merampas juadah makanan yang dijual di kedai makan berkenaan, semalam:-

ALOR SETAR – Walaupun sudah lima kali diserbu pihak berkuasa, sebuah kedai makan di Simpang Empat di sini dikesan masih beroperasi menjual makanan sebelum waktu yang dibenarkan.

Tindakan mereka itu terbongkar selepas diserbu sepasukan pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam operasi membanteras penjualan makanan sebelum jam 3 petang, semalam.

Pegawai Penguatkuasa MBAS, Saifulizam Othman berkata, penguatkuasaan itu dilakukan sebagai langkah untuk menghormati kesucian bulan Ramadan.

“Sebelum ini, kedai itu telah dikenakan kompaun sebanyak empat kali atas kesalahan sama pada tahun lalu.

“Namun, pemilik tempat makan itu masih tidak serik dan dikesan menjalankan penjualan makanan kepada orang ramai pada waktu yang tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media di Pejabat MBAS, semalam.

Beliau berkata, serbuan yang melibatkan seramai 30 pegawai MBAS itu telah merampas semua juadah makanan yang dijual.

Dalam perkembangan lain, MBAS juga telah berjaya mengeluarkan sebanyak 231 kompaun untuk pelbagai kesalahan termasuk perniagaan yang dijalankan di luar bazar Ramadan di sekitar Alor Setar.

“Untuk tahun ini, kita telah ambil ketetapan bahawa sebarang penjualan juadah berbuka puasa hanya boleh dijalankan di bazar Ramadan yang disediakan.

“Selain daripada itu, kita akan keluarkan kompaun termasuk rampasan sekiranya kesalahan tersebut berterusan. Berniaga di tepi jalan pun kita tidak benarkan,” katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini, MBAS telah berjaya merampas lebih 60 juadah makanan di enam lokasi berasingan atas kesalahan menjual makanan sebelum jam 3 petang.

Jelasnya, mana-mana individu yang dipercayai melakukan kesalahan itu, boleh dikenakan kompaun sehingga RM300.

“Kalau didakwa di mahkamah dan disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");