Isu Panas

Umno Kelantan hantar 150 penceramah ke K. Besut

kuala besut prk

Badan Perhubungan Umno Kelantan akan menghantar seramai 100 hingga 150 penceramah untuk membantu Umno Bahagian Besut menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.

Wakil Badan Perhubungan Umno Kelantan, Zawawi Othman berkata sebahagian besar tenaga berkenaan terdiri daripada anggota Umno Bahagian Pasir Puteh dan penceramah yang mewakili badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Kami sudah bersiap sedia membantu untuk pilihan raya kecil itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlawanan futsal Dun Semerak yang disertai 13 pasukan di Kota Bharu, Jumaat.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian anggota Dun berkenaan, Dr A. Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru, pada 26 Jun lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf mengumumkan tarikh penamaan calon pada 12 Julai manakala hari pengundian pada 24 Julai.

Zawawi yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh dan anggota Dun Semerak, berkata Umno Kelantan diberi tanggungjawab untuk menggempur di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Baru iaitu yang bersempadan antara Jajahan Pasir Puteh dan Besut.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha untuk meningkatkan lagi jumlah majoriti yang dimenangi pada pilihan raya umum lepas.

Katanya, ini termasuk menjalankan kempen dari rumah ke rumah untuk memberi penjelasan dan menangkis isu-isu yang ditimbulkan pembangkang sama ada berkaitan agama atau dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan pusat untuk memberi kebaikan kepada rakyat.

“Ini termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), perumahan golongan miskin dan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang seringkali dimanipulasi pembangkang,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");