Jenayah

30 ahli kongsi gelap ditahan

jenayah

Kuala Lumpur: Seramai 30 individu berbahaya yang juga ahli kongsi gelap antara 1,911 individu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melalui Operasi Cantas Khas (Op Cantas) dalam tempoh 23 hingga 25 Ogos lalu.

Mereka berusia 25 hingga awal 30-an ditahan dalam beberapa siri serbuan di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan berdasarkan maklumat dan risikan dilakukan pasukan khas JSJN di peringkat kontinjen dan daerah.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata dalam serbuan sepanjang Op Cantas, pihaknya bukan saja merampas pelbagai jenis dadah, malah turut berjaya menemui peluru dan bom tangan digunakan individu terbabit.

Terbabit edar dadah

Semua yang ditahan adalah anggota Geng 04, 08, 555, 18 dan Geng Raj, dipercayai terbabit mengedar dadah secara kecil-kecilan di beberapa kawasan yang cuba dikuasai mereka terutama di utara dan selatan tanah air selain turut dikesan menagih dadah.

Dalam operasi sama juga, kita turut mengesan dan menahan enam lelaki dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan jenayah sebelum diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk tindakan lanjut, katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, biasanya sindiket pengedaran dadah lebih tertumpu kepada aktiviti penyeludupan dan pengedaran najis itu di kawasan mereka tanpa terbabit dalam jenayah lain seperti rompak, samun dan bunuh.
Bagaimanapun, mereka akan bertindak ganas seperti mencederakan dan menembak mati apabila ada individu atau sindiket lain yang juga pesaing mengganggu urusan pengedaran dadah di kawasan mereka, namun kes sedemikian adalah terpencil, katanya.

Sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM185 juta dirampas JSJN dalam serbuan dan operasi di seluruh negara, manakala 7,714 pengedar serta 92,935 penagih dadah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Dalang warga Iran

Noor Rashid berkata, sindiket didalangi warga Iran dikesan mendominasi pasaran pengedaran dadah termasuk mengendalikan makmal pemprosesan dadah selain peningkatan ketara aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan yang didalangi warga Indonesia dan Filipina.

Bagi tempoh sama juga, JSJN turut mengesan dan merampas 18 pucuk pistol, selaras pump gun, 734 peluru hidup dan sebutir bom tangan dalam operasi membanteras dadah. Jabatan itu juga memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengekang cubaan penyeludupan dadah.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");