Berita Hari Ini

4,000 kanak-kanak didera tahun lepas – Menteri

rohani

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Kes penderaan kanak-kanak di negara ini menunjukkan  peningkatan dengan 3,831 dilapor menjadi mangsa tahun lepas, bertambah 403 orang  berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim  berkata, statistik itu adalah berdasarkan laporan yang diterima oleh Jabatan  Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, sebanyak 1,023 orang mangsa  dilaporkan dan 669 daripada mereka adalah perempuan,” katanya kepada Bernama  baru-baru ini.

Menurut Rohani, antara kes yang sering diterima pihaknya membabitkan  penderaan fizikal, emosi, seksual termasuk kes kanak-kanak dibuang.

Bagi menangani masalah ini, kementerian melaksanakan pelbagai langkah jangka  pendek dan panjang, katanya.

“Antara langkah jangka pendek ialah menempatkan kanak-kanak yang didera di  rumah perlindungan kanak-kanak atau di bawah jagaan seseorang yang layak dan  sesuai selama tempoh dinyatakan oleh mahkamah dengan pengawasan seorang  pelindung, iaitu pegawai kebajikan masyarakat,” katanya.

Untuk langkah jangka panjang pula, JKM menjalinkan kerjasama dengan pelbagai  agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan  Kementerian Pelajaran selain menggalakkan penyertaan komuniti dalam usaha  menangani dan mencegah masalah ini.

Mengenai faktor penderaan kanak-kanak, beliau berkata, terdapat banyak faktor  namun semuanya bermula daripada ibu bapa sendiri yang antaranya mungkin  mengalami tekanan seperti tekanan di tempat kerja, masalah kewangan serta  sebagainya dan mereka melepaskan tekanan kepada anak-anak.

Justeru, ibu bapa yang mempunyai masalah disaran berjumpa dengan pakar  motivasi atau JKM sendiri untuk diberi bimbingan dan kaunseling, katanya.

Individu yang didapati melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31  Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau  pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau  penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, kata beliau. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130811/dn_21/4000-kanak-kanak-didera-tahun-lepas—Menteri#ixzz2bdhYNnde ©  Utusan Melayu (M) Bhd

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");