Sukan Hari Ini

Akhirnya FAM pinda Artikel 88

famSTATUS Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang cukup digeruni kerana Artikel 88 akhirnya memberi sedikit kelonggaran kepada semua pihak yang terlibat dalam arena bola sepak negara apabila memutuskan untuk meminda artikel tersebut.

Pindaan itu antara lain ialah selain Presiden dan Setiausaha Agung, pegawai-pegawai lain yang dibenarkan Exco juga boleh membuat kenyataan media berkaitan badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Sebelum ini, artikel berkenaan hanya membenarkan Presiden dan Setiausaha Agung FAM sahaja yang boleh mengeluarkan kenyataan media.

Ini diumumkan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah pada sidang media selepas Kongres ke-49 di Hotel Royal Chulan hari ini.

Afandi berkata para pegawai berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Jika sebelum ini Artikel 88 peraturan 201-10-2014 FAM menyebut bahawa hanya Presiden dan Setiausaha Agung yang boleh membuat kenyataan dan sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu mendapatkan izin kongres terlebih dahulu namun pada kongres kali ini artikel tersebut akan diperluas sedikit.

“Artikel 88 tetap kekal, cuma kami bersetuju untuk memindanya dengan memberi ruang kepada pegawai lain juga untuk membuat sumbangan media dan mereka dibenarkan dibenarkan oleh Jawatankuasa eksekutif untuk membuat kenyataan akhbar tetapi kenyataan itu mestilah tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan.

“Justeru itu, kami akan menghantar garis panduan kepada ahli gabungan berkenaan pindaan statut ini supaya pada masa depan tidak lagi terjadi kekeliruan terutama dalam memberi kenyataan kepada media,” kata Afandi.

Sebelum ini, Artikel 88 sedia ada mendapat kritikan banyak pihak selepas beberapa pegawai tinggi FAM dan ahli gabungannya, dikenakan hukuman gantung, denda dan dilarang terbabit dalam aktiviti bola sepak kerana didapati bersalah mengkritik badan induk itu.

Antara yang pernah menjadi ‘mangsa’ ialah Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), yang digantung dua tahun setengah pada tahun lalu kerana kesalahan mengkritik skuad negara.

Selepas itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menjadi ‘mangsa’ hukuman keras FAM.

Sebelum ini, dua bekas naib presiden FAM iaitu Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil juga dihukum FAM di bawah peraturan sama.

Ketika ditanya bila garis panduan tersebut akan diedarkan kepada sema ahli gabungan, Afandi berkata: “Ianya akan dibentangkan terlebih dahulu pada mesyuarat akan datang, selepas itu baru akan diedarkan kepada semua,” ujarnya.

Afandi turut memberitahu ahli majlis juga bersetuju meminda Artikel 68 yang tidak membenarkan mana-mana ahli gabungan FAM atau pemain untuk membawa sebarang kes berkaitan bola sepak terus ke mahkamah.

Beliau sebaliknya menegaskan ahli gabungan FAM atau pemain perlu melalui prosedur yang ditetapkan seperti membawa kes berkenaan ke jawatankuasa kecil dalam FAM untuk proses penyelesaian sebelum membawa kes mereka ke mahkamah.

“Sekiranya mereka terus berdegil dan membawa kes berkenaan terus ke mahkamah, maka mereka akan dikenakan tindakan di bawah Artikel 68 iaitu maksimum gantung seumur hidup, bagaimanapun mereka boleh membuat rayuan kepada FAM untuk pertimbangan,” katanya.

Sebelum pindaan itu, Artikel 68 membenarkan mana-mana ahli gabungan atau pemain yang mempunyai kes berkenaan bola sepak untuk membawa kes mereka terus ke mahkamah untuk proses penyelesaian terakhir.

Dalam perkembangan sama, Afandi berkata ahli majlis juga bersetuju mengenai cadangan pemindahan Wisma FAM di Petaling Jaya ke Putrajaya sebagaimana yang diumumkan oleh Sultan Ahmad Shah, baru-baru ini.

Katanya, sebuah tapak seluas 7.69 hektar sudah dikenal pasti di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu untuk proses pembinaan bangunan baru FAM selain bangunan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

“Kita berharap pembinaan dua bangunan ini membolehkan Malaysia menjadi hab bola sepak di Asia.

“Namun, kos pembinaannya masih belum ditentukan kerana kita perlu meneliti beberapa perkara dengan lebih lanjut,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");