Berita Hari Ini

Buku perubatan berbahasa Tamil dilancar esok

S.Subramaniam

KUALA LUMPUR: Sebuah buku mengenai perubatan herba yang komprehensif dalam Bahasa Tamil, yang pertama seumpamanya ditulis di negara ini, akan dilancarkan di sini esok.

Buku setebal 304 muka surat berjudul ‘Perubatan Herba’ dihasilkan oleh tabib Siddha tempatan yang berpengalaman lebih 15 tahun, Dr M.S. Chelliah dijadual dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Dr S.Subramaniam di Dewan Tan Sri Soma, di sini.

Bercakap kepada Bernama, Chelliah berkata buku tersebut diterbitkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia tentang peri pentingnya gaya pemakanan serta penyediaan bahan makanan menggunakan herba, buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan yang berfaedah dari segi penyembuhan penyakit dan meningkatkan ketahanan tubuh badan manusia.

“Manusia telah menggunakan herba dalam perubatan mereka bagi tempoh yang agal lama…kini orang ramai mula sedar kesan sampingan penggunaan sesetengah ubatan moden dan mula beralih kepada penggunaan herba dalam perubatan,” katanya.

Kata Chelliah buku tersebut mengambil masa tiga tahun untuk dihasilkan dan selain Malaysia, beliau turut membuat kajian di Tamil Nadu, India serta rujukan buku berkaitan perubatan alternatif yang lain.

Buku ini mengandungi pelbagai maklumat mengenai tumbuhan, buahan-buahan dan sayur-sayuran yang berfaedah untuk perubatan herba termasuk banyak yang terdapat di Malaysia seperti betik, kelapa, limau, bendi, terung dan bunga lotus, katanya.

Beliau juga merancang untuk menterjemahkan buku berkenaan ke Bahasa Malaysia supaya dapat dikongsi dan dijadikan panduan kepada rakyat pelbagai bangsa di negara ini.

Perubatan Siddha merupakan rawatan yang wujud sejak 6,000 tahun lalu di selatan India dan sebahagian daripada sistem perubatan sains India termasuk Ayurveda dan Unani.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");