Perak Hari Ini

Ibu Bapa, Masyarakat Perlu Yakin Dengan Pendidikan SAR: Mohd Nizar

PERAKTODAY
Golongan ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya perlu menaruh keyakinan tinggi terhadap peranan institusi Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dilihat cukup penting untuk mengembangkan potensi sahsiah dan rohani anak-anak.

Menurut Exco Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Mohd Nizar Zakaria, ibu bapa juga perlu lebih jelas mengenai kepentingan menempatkan anak mereka belajar di sekolah itu, sama seperti belajar di sekolah harian yang sedia ada.

Katanya, gabungan pendidikan sekolah harian dan sekolah agama akan melahirkan golongan pelajar yang berupaya mencerap dan menjiwai  pelbagai ilmu.

“Di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun negeri, kita sentiasa memantau perkembangan SAR termasuklah daripada segi kebajikan tenaga pengajarnya yang menerima elaun RM1,000 sebulan.

“Guru KAFA juga diberi pengiktirafan khusus oleh kerajaan tetapi sokongan dan bantuan daripada semua pihak perlu ditingkatkan lagi supaya sasaran pelajar untuk khatam Al-Quran dan mendapat keputusan yang terbaik dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) terlaksana,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru KAFA peringkat Daerah Kuala Kangsar, di Kuala Kangsar, hari ini.

Selain itu, Mohd Nizar menegaskan semua 3,400 guru KAFA di seluruh negeri juga harus memiliki keyakinan tinggi dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

“Mereka juga perlu sentiasa mendahului dalam semua perkara memandangkan tugas yang digalas semakin mencabar,” katanya lagi.

Pelbagai perancangan dibuat antaranya penggunaan buku ringkasan mengajar bagi memudahkan guru mengadaptasi dan merancang sistem pengajaran mereka, katanya.

Seminar untuk guru-guru KAFA turut dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan prestasi mereka sentiasa di tahap yang cemerlang, tambah Mohd Nizar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");