Berita Hari Ini

Makanan antara 8 ikon pelancongan Taiping

ashilin

IPOH 11 Ogos – Makanan dan minuman adalah antara lapan ikon pelancongan bagi  bandar Taiping yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Perak dalam usaha menarik  lebih ramai pelancong ke situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak,  Nolee  Ashilin Mohd Radzi berkata tujuh lagi ialah Zoo Taiping & Night Safari,  Muzium Perak, Taman Tasik Taiping, Taiping Bandar Warisan, Ekopelancongan Kuala  Sepetang, kelip-kelip dewa dan Homestay Bukit Gantang.

“Taiping Bandar Warisan merangkumi produk-produk seperti bandar Taiping serta  sejarah penubuhannya, Galeria Pertama  dan pelbagai bangunan warisan yang masih  kukuh dan berfungsi sehingga ke hari ini.

“Manakala hidangan yang terdapat di Taiping yang telah menarik ramai  pengunjung untuk menikmatinya termasuk cendol, kuetiau Doli, mi banjir udang,  Restoran Asam Pedas, Antong White Coffe, popia basah dan sebagainya,” katanya  kepada Bernama, di sini.

Menurutnya, dalam usaha mempromosi Taiping Bandar Warisan, Majlis Perbandaran  Taiping melaksanakan pelbagai usaha untuk memulihara bangunan lama termasuk  menjadikan Hotel Lagenda yang dahulu dikenali ‘rumah rehat’ dan Jabatan Kerja  Raya lama 107, sebagai hotel butik.

“Antara bangunan lama lain yang menjadi simbol di daerah itu seperti pejabat  tanah, muzium, mes tentera, penjara serta bangunan sekolah-sekolah lama yang  bersesuaian dengan matlamat bandar Taiping,” katanya.

Mengenai jumlah pelancong yang berkunjung ke Taiping, Nolee Ashilin berkata,  rata-rata bertumpu di Zoo Taiping dan Night Safari.

Tahun lepas sebanyak 607,854 pelawat berkunjung ke Zoo Taiping berbanding  593,805 pada tahun sebelumnya, manakala pengunjung Night Safari pula meningkat  kepada 97,916 berbanding 94, 999 orang pada 2011, katanya.

Untuk tahun ini pula, bagi tempoh Januari hingga Jun, Zoo Taiping menerima  306,458 pengunjung, iaitu menurun sedikit berbanding tempoh sama tahun lepas  yang mencatatkan 322,252 orang, katanya yang menyifatkan penurunan itu bersifat  sementara.

Bilangan pengunjung dijangka bertambah apabila kerja menaik taraf tiga  komponen di Zoo Taiping dan Night Safari iaitu pembesaran stesen trem, menaik  taraf Pameran Savana Afrika dan Pameran Gajah Sungai Perak, siap pada hujung  September ini, katanya. – BERNAMA

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");