Berita Hari Ini

Malaysia tolak cadangan AS

us

KUALA LUMPUR –  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sekali lagi menegaskan kerajaan tetap menolak sebarang cadangan berhubung pemanjangan tempoh paten bagi produk farmaseutikal yang boleh menaikkan harga ubat-ubatan.

Pengarah Bahagian Dasar dan Strategi Miti Isham Ishak berkata, kerajaan mengambil pendirian untuk menolak cadangan yang memberi perlindungan berpanjangan kepada pemilik paten.

Menurutnya, walaupun begitu, kerajaan mengakui keperluan untuk memberi insentif kepada syarikat pengeluar ubat-ubatan bagi menghasilkan ubat baru.

“Tanpa pengeluar ubat-ubatan ini, siapa yang akan hasilkan ubat baru untuk pelbagai penyakit hari ini?

“Jadi Malaysia berpendirian dan sedang berunding untuk mengimbangi akses rakyat kepada ubat-ubatan mampu dimiliki tetapi dalam masa sama mengekalkan insentif kepada syarikat farmaseutikal untuk lebih berinovasi,” katanya dalam pembentangan pada Hari Terbuka TPP anjuran Miti, kelmarin.

Menurutnya, isu berkaitan hak harta intelek bagi produk farmaseutikal adalah isu rumit dan negara peserta TPP belum mencapai kata sepakat dalam rundingan itu.

Sebelum ini, Ketua Perunding Malaysia bagi TPP, J Jayasiri ketika ditemui selepas rundingan TPP pusingan ke-18 di Sabah, bulan lalu, turut menegaskan Malaysia bersama beberapa negara peserta TPP lain tidak bersetuju dengan cadangan pemanjangan tempoh paten untuk ubat-ubatan.

Teks rundingan TPP adalah sulit tetapi berdasarkan dokumen yang dibocorkan, cadangan untuk memanjangkan paten syarikat ubat-ubatan dipercayai dibuat oleh Amerika Syarikat (AS).

Pelanjutan tempoh paten dan perlindungan eksklusif ke atas data untuk pembuatan ubat akan menyebabkan kelewatan dalam penghasilan ubat generik, iaitu ubat dengan kandungan dan kesan yang sama seperti ubat asal tetapi dijual lebih murah kerana tiada kos penyelidikan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");