Kolumnis

Pemilihan Agung UMNO Perlu Bermula Dengan Menghalau Turun Spesies Tak Sedar Diri di Cawangan Dahulu

umno

Pemilihan Agung UMNO merupakan event yang paling dinanti-nantikan, baik oleh orang UMNO mahupun orang bukan UMNO. Bahkan pemilihan baru pemegang-pemegang jawatan turut mendapat perhatian dunia memandangkan sebarang perubahan dalam UMNO, turut mempengaruhi perubahan pentadbiran negara.

Di Perak, Menteri Besarnya, Zambry Abdul Kadir sudah pun memaklumkan bahawa dia tidak akan bertanding bagi sebarang jawatan Majlis Tertinggi (MT). Alasan yang diberikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu ialah, sebagai Menteri Besar, secara automatik dia akan dilantik sebagai ahli MT. Katanya lagi, dia boleh berkongsi memberikan buah fikiran dan menerima pandangan dalam mesyuarat MT sekalipun tumpuan utamanya adalah pentadbiran negeri.

Menteri Kewangan Kedua yang juga merupakan pemimpin UMNO Perak, Ahmad Husni Hanadzlah, juga tidak akan mempertahankan kedudukannya dalam MT bagi memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin muda.

Itu contoh yang diberikan. Namun adakah contoh daripada kedua-dua orang pemimpin tertinggi UMNO Perak itu akan dituruti oleh pemimpin-pemimpin peringkat bawahan?

UMNO sudah terlalu lama menjadi gudang ternak manusia serakah yang tidak sedar diri dan tidak tahu diuntung. Kebanyakan daripada mereka sangat bijak bermain politik dalam UMNO tetapi apabila kepandaian dan kepintaran politik mereka diterjemahkan ke dalam bentuk Pilihanraya, mereka tidak ubah seperti pondan yang tercekik putik durian. Haram tak bertelur malah tiba-tiba sahaja menjadi manusia paling bongok yang terpegun melihat peruntukan besar untuk operasi dan aktiviti pilihanraya.

Bukan rahsia lagi bagaimana Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian UMNO bergelagat tidak ubah seperti lintah lapar. Mereka menjalar ke sana ke mari. Menggunakan nama UMNO untuk mendapatkan projek tetapi segala projek yang diperolehi atas nama UMNO, ditukarkan menjadi projek peribadi untuk menunjuk-nunjuk kekayaan kepada orang bawahan.

Bukan sedikit bekas ADUN dan Ketua Bahagian yang menjadi Ketua Cawangan. Biarpun sudah nyawa di hujung tanduk, walaupun pemikiran tidak lagi selari dengan perkembangan zaman, walaupun kepimpinan sudah ditolak oleh generasi muda, malah walaupun fungsinya selaku Ketua Cawangan atau Ketua Bahagian gagal memenangkan Barisan Nasional dan UMNO, tetapi mereka masih kekal bergayut pada kuasa.

Modalnya ialah wang ringgit. Wang ringgit digunakan untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa. Wang ringgit itu pula diperolehi daripada nama UMNO Kawasan yang dijual untuk mendapatkan projek.

Menariknya, golongan ini kurang berpelajaran. Mereka amat getik dan takut dengan golongan berpelajaran. Selagi boleh, mereka akan mencantas dan berusaha mematikan mana-mana ahli UMNO yang berpotensi untuk menghumban mereka turun dari kuasa. Ada sesetengah daripada mereka hanya mempunyai kelulusan setakat SPM, malah yang hanya belajar setakat SRP juga ada. Lebih teruk lagi, ada juga Ketua Cawangan yang hanya belajar setakat Darjah 6!

Dalam kepala otak mereka ini, tidak ada benda lain yang mereka fikirkan kecuali PROJEK!

Bagi mereka, UMNO adalah PROJEK dan PROJEK adalah UMNO. Sekaligus menimbulkan persepsi awam bahawa di dalam UMNO sekarang ini, dipenuhi dengan golongan kontraktor yang menanti peluang untuk sapu projek. Bila mereka tidak dapat projek yang dihajatkan, mereka mengambil keputusan untuk menyertai PAS atau PKR.

Masa di dalam UMNO, nak keluarkan duit untuk parti, mengalahkan si bakhil dengan dinar emasnya. Tetapi apabila masuk PKR atau PAS, jangankan duit, bulu kemaluan pun mereka sanggup hadiahkan kepada parti. Kononnya untuk perjuangan walaupun hakikatnya, ia adalah sebagai tanda marah dan sakit hati kepada UMNO kerana tidak menganugerahkan projek kepada mereka.

Ada juga sesetengah Ketua Bahagian yang mendapat peruntukan Pilihanraya tetapi tidak digunakan. Sebaliknya peruntukan tersebut digunakan untuk pemilihan UMNO. Atau dengan kata-kata lain, yang lebih dipentingkan adalah kedudukanya dalam UMNO, bukannya kedudukan UMNO dalam politik negara.

Orang seperti ini sanggup melihat UMNO binasa berbanding dirinya tidak memegang jawatan dalam UMNO. Perhatikan sahajalah bagaimana keadaan mereka sewaktu Pilihanraya Umum berbanding aktifnya mereka semasa pemilihan jawatan UMNO. Bezanya seperti langit dengan bumi!

Barah seperti ini harus dihapuskan terlebih dahulu. Membetulkan kepimpinan, perlu bermula dari bawah. Kalau kepimpinan bawahan sudah pun caca merba, didatangkan Imam Mahdi untuk memimpin UMNO sekalipun, UMNO tidak akan dapat bertahan lama kerana permainan pemimpin-pemimpin bawahan yang tidak bertanggungjawab.

Ahli-ahli UMNO perlu melakukan transformasi dari bawah terlebih dahulu. Jangan dipersalahkan pemimpin atasan kerana pemimpin bawahan yang dipilih terdiri daripada bangkai berulat!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");