Membawang Hari Ini

Pengantin Syawal

RAYA

SEJAK wanita bernama Arianie Mohd. Abidin, 42, ini kembali bergelar isteri kepada penyanyi Hattan, 49, kira-kira tiga minggu lalu, rutin hariannya bertukar.

Kalau dahulu sewaktu zaman solo dia mendahulukan kehendak diri dan anak, Adam Eiman untuk sambutan Aidilfitri. Namun tidak untuk Syawal kali ini.

Kini tanggungjawabnya lebih besar sebagai suri keluarga. Dan sudah pastilah semua keperluan dan urusan suami dan anaknya digalas di bahu pramugari ini.

Mengakui bahawa sambutan Syawal disambut secara sederhana, yang penting dan lebih membahagiakan adalah apabila dapat berada di sisi individu kesayangan.

“Memang agak kekok rasanya apabila selama ini kita hanya cium tangan ibu (Hindon Mohd. Sani) dan adik beradik lain di pagi raya. Perasaannya berlainan sekali kali ini.

“Saya jadi kekok untuk bersalaman dengan suami. Malu-malu pun ada sebab dah lama tak buat macam itu. Dan sebenarnya saat mengungkapkan kata maaf semasa bersalaman itu adalah saat paling menyentuh perasaan.

“Dalam hati saya ini hanya Tuhan saja yang tahu. Ada pelbagai macam perasaan. Semuanya bercampur baur. Sedih, gembira dan terharu semuanya menjadi satu,” kongsi Arianie tentang kehidupan barunya kini.

Sebelum ini Hattan dan Arianie pernah mendirikan rumah tangga pada 17 Disember 1996 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Adam Eiman yang kini berusia 15 tahun. Pun begitu mereka kemudiannya gagal untuk mempertahankan mahligai selepas sembilan tahun hidup bersama.

Sepanjang perpisahan tersebut, Hattan pernah mendirikan rumah tangga dengan Farah Asyikin Othman pada 2011. Arianie juga pernah bertunang namun putus di tengah jalan.

Jadi bahan gurauan

Arianie juga memberitahu kadangkala tingkah lakunya menjadi bahan gurauan dalam kalangan adik beradik sewaktu berkumpul di rumah ibunya yang terletak di Puchong, Selangor.

Tambahan pula selepas Adam menyuarakan hasrat untuk mendapat adik baru.

Biarpun Arianie hanya tersenyum namun gurauan tersebut nampaknya menjadi serius apabila Hattan turut mempunyai hasrat yang samai.

Bagaimanapun topik tentang orang baharu dalam keluarga itu tidak mampu melawan perasaan Hattan yang begitu bersyukur apabila melihat keluarganya bersatu semula.

“Dalam peringkat usia sebegini, saya hanya memerlukan keluarga yang bahagia. Saya mahukan seorang peneman yang boleh berkongsi suka duka bersama.

“Dan saya amat bersyukur jodoh saya tak jauh. Ada di depan mata selama ini. Biarpun dah kerap kali saya memberi isyarat untuk kembali bersamanya, dia (Arianie) pula buat-buat tak faham.

“Akhirnya apabila tiba masanya, hati Arianie terbuka buat saya. Kami mengambil keputusan untuk kembali hidup bersama. Dan Insya-Allah saya akan mempertahankan perkahwinan yang dibina ini hingga ke hujung nyawa saya,” azam Hattan.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");