Berita Hari Ini

Peningkatan Jumlah Kes Syarie Bukanlah Lemahnya Sistem Perundangan Islam

zainul

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) — Peningkatan jumlah kes syarie seperti khalwat, makan di khalayak ramai dalam bulan puasa dan ajaran sesat bukanlah berpunca daripada kelemahan sistem perundangan Islam di negara ini.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata ia berpunca daripada pelbagai faktor seperti tahap pendidikan agama, masalah sosial dan hiburan melampau.

“Tidak adil sekiranya peningkatan jumlah kes tersebut dikatakan berpunca semata-mata daripada lemahnya sistem perundangan Islam,” tegas beliau.

Zainul Rijal berkata sistem keluarga yang terlalu rapuh juga merupakan masalah besar menjurus berlaku maksiat dan jenayah.

“Terdapat terlalu ramai ‘pembela’ kepada perlakuan maksiat dan jenayah ini atas nama hak asasi manusia. Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka ini juga penyumbang kehilangan perasaan takut kepada undang-undang itu sendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ditanya mengenai hukuman yang terlalu ringan dikenakan terhadap pesalah bagi kes syarie, beliau berkata akta sedia ada perlu dipinda bagi mewujudkan hukuman lebih berat bertujuan memberi pengajaran sama ada kepada pesalah ataupun orang lain secara amnya.

“Hukuman ringan tidak akan dapat mencapai hasrat dan matlamat ini selain tidak digeruni malah ada pihak yang mempermainkan hukuman tersebut.

“Itulah sebabnya hukuman dalam Islam digeruni pesalah. Islam berjaya mengekang perlakuan jenayah dan maksiat dengan mengadakan hukuman berat seperti dalam hudud, qisas dan takzir,” katanya.

Zainul Rijal menjelaskan undang-undang yang ditulis oleh manusia pula perlu dikaji dari masa ke masa bagi disesuaikan dengan keadaan semasa dan undang-undang yang tidak lagi relevan perlu dihapuskan dan digantikan dengan undang-undang lebih baik.

Ketika diminta mengulas berhubung undang-undang yang semakin lapuk dan tidak pernah dipinda sejak 20 tahun lepas, seperti Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984, sehingga menyebabkan ia dipandang enteng ekoran hukuman terlalu rendah, Zainul Rijal berkata akta itu perlu dipinda segera.

Katanya Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya mengehadkan hukuman bagi pesalah yang melanggar perintah agama Islam iaitu maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan dikenakan enam sebatan dan hukuman itu terlalu rendah serta tidak sesuai dengan keadaan masa kini.

“Saya berpendapat DUN perlu diberi lebih kuasa bagi mengadakan kesalahan melanggar ajaran dan perintah agama Islam dengan hukuman lebih tinggi mencakupi apa-apa hukuman selain hukuman mati.

“Dengan cara ini, kegerunan melakukan kesalahan jenayah syariah akan wujud di samping beberapa perkara lain yang perlu diselaraskan seperti undang-undang keterangan, prosedur perbicaraan termasuklah kaedah pengampunan Lembaga Pengampunan Negeri,” katanya.

Mengenai kesalahan ajaran sesat yang hanya dikenakan hukuman ringan dan jumlah denda yang sedikit, beliau berkata hukuman dalam Islam bukan hanya memperuntukkan denda, penjara dan sebatan semata-mata, sebaliknya mencakupi aspek lebih luas.

Zainul Rijal yang berpengalaman sebagai peguam syarie selama 21 tahun berkata hukuman alternatif boleh dikenakan bagi pesalah ajaran sesat selain hukuman bersifat ‘kovensional’ itu.

Katanya hukuman alternatif seperti menghadiri sesi runding cara aqidah (istitabah), melaporkan diri kepada Imam pada setiap waktu solat, membersihkan masjid dan menjaga pusat kebajikan boleh mendidik jiwa pesalah agar lebih lembut dan insaf akan kesalahan mereka.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");