Sukan Hari Ini

Subahan yakin Malaysia layak

SUBHN

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kini dilihat amat serius dalam memastikan bola sepak negara kembali di landasan sebenar.

Melayakkan diri ke Piala Asia 2015 di Australia merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) skuad Harimau Malaya selepas meraih emas Sukan Sea 2009 dan 2011 serta juara Piala AFF Suzuki 2010.

Namun sasaran melayakkan diri ke Piala Asia 2015 nampak goyah selepas pasukan bimbingan Datuk K Rajagobal dilihat terumbang ambing dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa termasuk gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Bagaimanapun Rajagobal yakin bahawa negara dapat mencipta sejarah baru dengan melayakkan diri ke Piala Asia buat kali pertama walaupun menyedari misi itu tidak mudah.

Melalui desakan dan kritikan yang dilontarkan terhadap pasukan negara, Presiden FAM, Sultan Ahmad Syah lantas bertitah bahawa baginda tidak dapat menerima apa juga alasan daripada ketua jurulatih negara sekiranya skuad Harimau Malaya gagal melepasi Kelayakan Piala Asia 2015 yang kembali bersambung 15 Oktober ini.

Ikuti temu bual wartawan sukan, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA bersama PENGURUS HARIMAU MALAYA, DATUK SERI SUBAHAN KAMAL dalam mengupas misi pasukan kebangsaan untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015.

Apakah pandangan Datuk Seri mengenai titah Presiden FAM, Sultan Ahmad Syah yang mengatakan baginda tidak mahu menerima sebarang alasan andai pasukan kebangsaan gagal melayakkan diri ke Piala Asia 2015?

Bagi saya mudah, pandangan yang diberikan oleh Tuanku amat tepat. Kita juga menghormati keputusan Kongres FAM.

Kita sedang berusaha untuk melayakkan diri ke Piala Asia kerana itu misi kita sebelum ini.

Saya sebagai pengurus pasukan menghormati saranan yang dibuat oleh Kongres. Kita kena sahut cabaran itu dengan positif.

Pasukan negara tidak pernah melayakkan diri ke Piala Asia. Adakah Datuk Seri yakin misi itu dapat direalisasikan?

Dalam sejarah bola sepak negara, Malaysia tidak pernah layak ke Piala Asia. Itu hakikat sebenar.

Tetapi era bola sepak kita menunjukkan peningkatan. Kita memenangi pingat emas Sukan Sea 2009, disusuli dengan juara Piala AFF Suzuki 2010 dan mengekalkan pingat emas Sukan Sea 2011 di Jakarta Indonesia.

Melalui pencapaian baru itu, kita meletakkan KPI skuad Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015.

Kebanyakan pemain yang bermain sekarang adalah pemain atau watak penting yang menaikkan nama kita dan sekarang ini kita dalam proses memartabatkan kembali bola sepak negara.

Saya yakin pemain Harimau Malaya boleh melakukannya kerana itulah matlamat dan sasaran yang kita sedang kejar.

Melayakkan diri ke Piala Asia bukan sesuatu kerja yang mudah. Adakah Datuk Seri menyedari situasi tersebut?

Kita perlu ingat bahawa bukan mudah untuk melayakkan diri ke Piala Asia. Ini kerana kita berdepan dengan pasukan dari Asia iaitu Qatar, Yaman serta Bahrain dan bukannya dari negara Asean. Cabaran itu lebih tinggi dan berbeza.

Bagi saya misi untuk layak ke Piala Asia bukan misi yang mustahil. Saya percaya dan yakin dengan kemampuan pasukan kita.

Setakat ini, dalam dua perlawanan, kita merupakan salah satu negara Asean yang berjaya meraih tiga mata dalam pusingan kelayakan.

Soal layak atau tidak, kita ketepikan dahulu kerana apa yang penting adalah berdepan dengan Bahrain, 15 Oktober ini.

Kita perlu menang untuk memudahkan laluan kita ke peringkat seterusnya. Tiga mata penuh itu amat berharga.

Bagaimanapun, saya yakin Harimau Malaysia dapat melakukannya.

Skuad Harimau Malaya dikritik hebat ekoran prestasi hambar yang dipamerkan sebelum ini. Apakah pandangan Datuk Seri?

Saya sebagai pengurus dan pemain itu sendiri mengimpikan untuk meletakkan pasukan negara berada di satu tahap yang berlainan.

Kita juga sedang berusaha untuk meningkatkan lagi level bola sepak negara.

Soal kita ke Australia dan Jepun tidak harus dipersoalkan. Biarpun kita tidak meraih gol atau kalah sekalipun, itu merupakan sesi pembelajaran kita. Kita tidak mahu hanya digelar sebagai jaguh kampung.

Lihat hasil ketika menentang Barcelona. Walaupun kita tewas 3-1, tetapi permainan yang ditunjukkan amat berbeza bahkan kita boleh meraih keputusan berbeza pada malam itu.

Santos dan Thailand dimalukan oleh Barcelona dengan jaringan yang besar tetapi kesungguhan pemain kita dapat membuktikan kita boleh bersaing dengan pasukan yang lebih hebat.

Semua itu adalah berdasarkan latihan dan perlawanan yang diadakan sebelum ini.

Bagaimanakah persiapan Harimau Malaya sebelum berhadapan dengan Bahrain, 15 Oktober depan?

Sebelum berdepan dengan Bahrain, kita akan melakukan ujian terakhir menentang China melalui perlawanan persahabatan.

Semua itu adalah bertujuan untuk memantapkan lagi pasukan Harimau Malaya.

Saya yakin pemain Harimau Malaya boleh melakukannya. Matlamat itu bukan atas dasar kritikan yang dilemparkan kepada mereka tetapi atas faktor niat mereka untuk menaikkan nama negara.

Kita kena sahut cabaran itu dengan positif. Saya harap impian ini akan tercapai.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");