Membawang Hari Ini

Kerjaya Punah Selepas Tragedi

kamal

PELAKON dan pelawak juga sama seperti orang lain yang mempunyai bidang kerjaya masing-masing. Kamal Pendek misalnya, antara anak seni yang turut menjadikan bidang seni sebagai salah satu kariernya sejak tahun 1974.

Malah, golongan pelawak dan pelakon seperti Kamal juga bergantung kepada kudrat serta bakat bagi meneruskan dunia yang diceburinya sejak 39 tahun lalu. Sayangnya, bak kata orang panas tidak sampai ke petang buat anak seni ini.

Dia yang kini berusia 61 tahun terpaksa akur dengan ketentuan Illahi apabila musibah telah menimpa ke atas dirinya pada 2005. Sejak lapan tahun lalu, pelawak berbadan kerdil ini hanya sekadar mampu duduk di rumah sahaja.

Menurut Kamal, tulang belakangnya patah akibat terjatuh dari tangga sewaktu sedang bekerja di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada tahun tersebut. Ekoran kemalangan itu, dia terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.

“2005 adalah hari malang buat saya. Saya tidak menyangka hari itu telah mengubah kehidupan saya. Tidak kiralah dalam kerjaya saya sebagai pelakon dan pelawak ataupun dalam kehidupan seharian saya sebagai manusia biasa.

“Ini kerana, selepas kemalangan itu saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak ke sana ke mari. Saya cuma boleh berjalan sedikit tetapi terpaksa menggunakan dua tongkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Akibat kemalangan itu, saya bukan sahaja susah untuk bergerak tetapi juga sukar untuk berlakon sama ada dalam drama ataupun filem,” katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu, Kamal hadir dengan bertongkat yang mana dia menjadi tumpuan ramai teman-teman seangkatannya dalam bidang lakonan yang simpati dengan nasib dirinya.

Jelas Kamal, sewaktu kemalangan itu terjadi dia sedang bekerja di tempat kerjanya di Hotel Brisdale, Kuala Lumpur sebagai pekerja am yang mana ia telah memberi impak yang besar terhadap pekerjaannya selepas itu.

Dia bukan sahaja terpaksa berhenti kerja dari hotel itu tetapi pada masa sama turut sukar untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon dan pelawak yang dijadikannya sebagai kerja kedua selepas pekerjaan tetapnya itu.

“Saya sebenarnya bekerja sepenuh masa di Hotel Brisdale selama lapan tahun sebagai pekerja am sebelum kejadian itu berlaku. Selepas kemalangan itu saya terpaksa berhenti kerja dari hotel tersebut dan duduk di rumah sahaja. Malah, saya juga tidak boleh berlakon.

“Mujurlah sepanjang saya tidak bekerja saya ada duit simpanan sedikit dan Socso (Pertubuhan Kebajikan Sosial) yang telah menanggung perbelanjaan bulanan saya dengan membayar pencen ilat kepada saya,” ujarnya sebak.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");