Perak Hari Ini

Kerajaan Komited Lahir Modal Insan Berkualiti

PERAKTODAY23

Pendidikan sekolah aliran agama tidak pernah dipinggirkan malah kerajaan sentiasa memberi perhatian berterusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan agama Islam di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Madinah Mohamad, berkata pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) merupakan matlamat pembangunan modal insan.

“Hasrat murni ini bukti kerajaan komited dalam melahirkan lebih ramai ulama yang berakhlak mulia di samping berilmu serta berkemahiran.

“Saya yakin inisiatif kerajaan ini mampu melahirkan tokoh-tokoh agama yang boleh dijadikan rujukan hingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Kata beliau, SABK berbeza daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dari segi aktiviti kurikulum yang ditawarkan.

“Pelajar SABK mempunyai dua jenis kurikulum iaitu kurikulum kebangsaan dan kurikulum Azhari.

“Dengan itu, mereka boleh mengambil sijil peperiksaan awam yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan serta pihak berkuasa agama negeri,” katanya di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar sebagai SABK di Ipoh, hari ini.

MoU ditandatangani oleh Madinah bagi pihak KPM manakala kerajaan negeri pula diwakili Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

Turut hadir, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud; Pengarah Bahagian Pendidikan Islam (KPM), Abdullah Md Din; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam negeri, Mohd Nizar Zakaria dan Pengetua Madrasah Idrisiah, Khairul Anwar El Syazalli Musa.

Tambah Madinah, pelajar-pelajar SABK akan mendapat pendidikan yang lebih berkualiti apabila pelbagai kemudahan disediakan seperti mana yang dinikmati oleh sekolah arus perdana.

“Bantuan perkapita, bantuan makan asrama dan buku teks akan diberi kepada mereka bagi membuktikan kesamarataan terhadap semua sekolah.

“Di samping itu, mereka akan mempunyai akses untuk mengikuti pelbagai aktiviti kurikulum yang lebih luas samada di peringkat negeri, kebangsaan malah antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau lagi, kerjasama erat antara KPM dan Lembaga Tadbir Sekolah secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada para guru serta kakitangan yang layak untuk mengikuti latihan iktisas serta menerima pelbagai kemudahan disediakan.

Beliau berharap pengiktirafan ini mampu menangkis tanggapan negatif sesetengah pihak yang menganggap pendaftaran SABK tidak akan membawa perubahan walaupun mendapat bantuan kerajaan.

Madinah juga menegaskan kemasukan madrasah itu tidak menjejaskan pengoperasian serta pelaksanaan kurikulum yang sedia ada.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");