Isu Panas

Akar umbi masih percaya trio asal

umno

KINI terjawab sudah persoalan siapakah pemimpin yang mengisi tiga kerusi Naib Presiden Umno, susulan pemilihan parti yang berakhir semalam.

Perwakilan sebulat suara memilih untuk mengekalkan penyandangnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Syafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Keputusan ini membuktikan bahawa akar umbi masih lagi mahukan pasukan sedia ada untuk membantu presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya dalam menghadapi saingan PRU14.

Penganalisis politik berpendapat, tiga jawatan itu dimenangi oleh penyandangnya kerana mereka mempunyai sokongan dan pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi.

Pada masa yang sama perwakilan merasakan tidak perlu muka baharu kerana pemimpin sedia ada mampu untuk meneruskan perjuangan parti dan membuat transformasi bersama Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Jayum Jawan berkata, Ahmad Zahid menang kerana mempunyai prestasi yang baik ketika menjaga Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, sikap Ahmad Zahid yang tegas dalam mengendalikan pelbagai isu yang melibatkan kementerian itu, telah memberi kesan positif terhadap sokongan perwakilan.

Manakala, bagi Shafie pula, Dr Jayum berkata, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu mampu mengekalkan jawatannya kerana perwakilan mahu sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kepercayaan rakyat dua negeri itu penting kepada Umno untuk mengekalkan parti itu memerintah negara.

“Sekiranya Shafie tak terpilih pasti Umno tak dapat menarik pengundi di sana untuk terus bersama Umno,” katanya.

Bagi Hishammuddin pula, katanya, perwakilan masih memilih beliau sebagai naib presiden kerana mahu mengekalkan barisan asal penyandang sebelum ini.

“Pengekalannya kerana mahu meneruskan perjuangan parti yang didokong oleh Najib. Walaupun kelihatan semangatnya terganggu kebelakangan ini, tetapi ia bukan penghalang untuk beliau menang dalam pemilihan ini,” katanya.

Dr Jayum turut mengulas tentang saingan yang diberikan Datuk Mukhriz Mahathir, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam terhadap penyandang jawatan.

Katanya, sekiranya Mukhriz gagal namun tidak bermakna transformasi tidak berlaku kerana Menteri Besar Kedah itu berjaya mendapat undi bahagian yang banyak sehingga mampu mencabar Hishammuddin yang berada di tempat ketiga.

“Bagi Isa dan Mohd Ali pula, mungkin mereka gagal dapat sokongan kerana zaman mereka sudah berlalu,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir pula menyifatkan kemenangan ketiga-tiga penyandang itu, membuktikan bahawa mereka masih mendapat kepercayaan dari akar umbi untuk menerajui parti.

Katanya, kemenangan Ahmad Zahid telah buktikan beliau seorang pemimpin yang boleh menjadi harapan rakyat.

“Kelebihan sebagai penyandang dan menteri menjadi kekuatan kepada kemenangannya selain prestasi cemerlang sejak memegang KDN. Tegas, berani dan proaktif dalam menyelesaikan isu jenayah terutamanya Ops Cantas,” katanya.

Menurutnya, Shafie sememangnya layak dikekalkan memandangkan prestasi cemerlang yang ditonjolkan oleh beliau dalam jawatan politik dan kerajaan.

“Kalau Umno hendak jadi lebih inklusif, Umno tidak harus dan tidak boleh pinggirkan pemimpin Sabah dan Sarawak. Jadi pemilihan beliau adalah tepat,” katanya.

Dr Jeniri berkata, kemenangan Hishammuddin dilihat hanya bergantung kepada faktor beliau sebagai salah seorang penyandang jawatan tersebut.

“Ini membuktikan Umno mahukan penyandang kekal bukan muka baru yang bawa perubahan,” katanya.

Katanya, kegagalan Mukhriz adalah satu yang mengejutkan kerana beliau sememangnya pemimpin yang dikatakan mampu beri imej baru kepada Umno.

Manakala, bagi Mohd Isa dan Mohd Ali pula, Dr Jeniri berkata, kegagalan kedua-dua pemimpin itu, sememangnya dapat dijangka kerana perwakilan tidak mahu pemimpin lama.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");