Perak Hari Ini

DS Zambry Puji Semangat Jamawi, Khairul Azwan

calon naib ketua pemuda

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memuji semangat kedua-kedua calon Naib Ketua Pemuda UMNO yang akhirnya bersetuju mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan parti tersebut.

Katanya, sikap itu juga merupakan satu pengorbanan yang perlu dimiliki oleh seseorang bakal pemimpin UMNO.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada kedua-dua calon Naib Ketua Pemuda iaitu Jamawi Jaafar dan Khairul Azwan Harun yang akhirnya bersetuju mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini demi kepentingan parti.

“Inilah sikap pengorbanan serta kesediaan yang perlu ada dalam diri seorang bakal pemimpin,” tegasnya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut, dekat Manjung, hari ini.

Tambahnya, jika tiada semangat juang yang tinggi serta sanggup berkorban, kemungkinan hasrat parti untuk memiliki seorang pemimpin yang berjiwa kental pada masa akan datang tidak akan tercapai.

Zambry yang juga merangkap sebagai Menteri Besar, berharap pihak Ibu Pejabat UMNO dapat mengendalikan perkara itu dengan sebaik-baiknya.

“Saya tidak mahu melemparkan tuduhan terhadap mana-mana pihak kerana keadaan ini mungkin berlaku disebabkan masalah teknikal.

“Saya harap ianya menjadi pengajaran penting buat semua untuk memastikan proses pemilihan semula bagi menentukan jawatan Naib Ketua Pemuda pada Rabu depan dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya,” ujar beliau lagi.

Semalam, media tempatan melaporkan siapa Naib Ketua Pemuda UMNO Pusat akan ditentukan Rabu ini apabila sayap parti itu mengadakan pemilihan semula di tiga bahagian.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, berkata pemilihan semula secara serentak itu melibatkan bahagian Sabak Bernam, Bachok dan Gelang Patah.

Katanya, keputusan itu dibuat jawatankuasa berkenaan dengan persetujuan dua calon bagi jawatan berkenaan iaitu Jamawi Jaafar dan Khairul Azwan Harun, yang terikat dengan keputusan undi seri 73-73 dalam pemilihan jawatan itu Sabtu lepas.

“Dalam perjumpaan (dengan kedua-dua calon), ada tiga bahagian (undian) yang dipertikai kedua-dua pihak, tetapi kesemua telah bersetuju supaya diadakan pengundian semula di tiga bahagian itu untuk menentukan kemenangan,” kata Tajol Rosli dalam sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, perwakilan di ketiga-tiga bahagian itu akan mengundi semula bagi keempat-empat calon naib ketua Pemuda iaitu Jamawi, Khairul Azwan, Lokman Noor Adam dan Mohamad Iruan Zulkefli.

Tajol Rosli berkata pengundian akan dijalankan menurut sistem ‘electoral college’ dan keputusan dijangka diketahui pada hari sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");