Berita Hari Ini

Kadar jenayah di kalangan remaja meningkat

wira

JOHOR BAHRU – Kadar jenayah dalam kalangan remaja khusus pelajar sekolah meningkat 149 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Malaysia, Datuk Wira Ayub Yaakob.

Beliau berkata, jumlah kes dalam tempoh itu tahun lepas ialah sebanyak 335 kes berbanding 873 kes dalam tempoh yang sama tahun ini.

“Angka tersebut dilihat tidak besar tetapi mesti dibendung untuk mengelak pelajar sekolah terlibat dengan aktiviti jenayah yang boleh merosakkan diri mereka yang sepatutnya perlu hadir ke sekolah dan menimba ilmu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri seminar Guru Penasihat Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah Peringkat Zon Selatan di sini hari ini.

Menurut beliau, pelajar sekolah sering melakukan jenayah melibatkan gengsterisme dan kongsi gelap yang akan direkrut untuk membuat jenayah lain.

“Namun Ops Cantas bukan sahaja dapat memberkas penjenayah di kalangan orang dewasa tetapi turut penglibatan salah laku pelajar di dalam kawasan sekolah,” katanya.

Ayub berkata, dengan tertubuhnya Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ), pihak sekolah akan dapat membantu polis mengumpul maklumat dan berkerjasama dalam menangani jenayah yang melibatkan pelajar.

Sementara itu beliau berkata kerajaan telah meluluskan permohonan untuk pengambilan sukarelawan polis seramai 10,000 yang pengambilannya sedang dijalankan dan mereka yang berminat boleh memohon menerusi laman sesawang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sukarelawan polis tidak dilihat sebagai picisan tetapi tugas mereka sama besar dengan anggota polis dalam membanteras jenayah,” katanya.

Turut hadir di seminar itu ialah Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Mohd Shariff, Pengarah Pendidikan Negeri Johor Mohd Nor A Ghani dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Kamaruddin Md Ali.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");