Perak Hari Ini

Pemilihan UMNO Bahagian Lumut: Azri Menang Mudah

azri jaafar

Perwakilan UMNO Bahagian Lumut memberi kepercayaan penuh kepada Azri Jaafar untuk menyandang jawatan sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian pada pemilihan yang berlangsung Sabtu.

Beliau yang pernah menyandang jawatan Setiausaha UMNO Bahagian berjaya menewaskan pencabarnya, Jamaluddin Majid dengan majoriti 176 undi.

Dalam pengumuman yang dibuat pada jam 6 petang tadi, Azri memperoleh 254 undi berbanding pencabarnya sekadar meraih 78 undi.

Menurut Azri lagi, kemenangan itu sebagai tanda sokongan para perwakilan yang meletakkan keyakinan mereka terhadap kepimpinannya selama ini.

Katanya, pengalaman bertugas sebagai ahli jawatankuasa UMNO serta Pegawai Khas Menteri Besar memberi kelebihan kepadanya untuk menawarkan diri dan bertanding sebagai calon Naib Ketua UMNO bahagian.

“Pengalaman yang saya timba semasa memegang jawatan Setiausaha UMNO Bahagian Lumut dapat membantu para perwakilan untuk membuat keputusan demi kepentingan parti.

“Saya akan berusaha melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang telah diberikan para perwakilan dengan memberi tumpuan kepada tiga skop utama,” jelasnya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan UMNO di Dewan MPM dekat Manjung, Sabtu.

Beliau juga memberitahu akan berganding bahu bersama-sama ahli jawatankusa UMNO Lumut untuk menyuarakan hasrat yang ditimbulkan perwakilan semasa mesyuarat perwakilan berlangsung.

“Perkara pertama yang akan diberi tumpuan adalah mengenai usaha menambahan bilangan ahli UMNO dari semasa ke semasa.

“Seterusnya, pendaftaran ahli baru dalam konteks Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang serta menyediakan program-program untuk meremajakan UMNO Lumut terutamanya di kalangan muda-mudi,” ujarnya sambil menzahirkan rasa syukur kepada Allah di atas kemenangannya itu.

Tambah Azri lagi, beliau akan terus memikul amanah yang telah diberi dengan penuh kerelaan hati serta berusaha mempamerkan hala tuju dan perjuangan sebenar parti UMNO.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden UMNO, keputusan pengundian perwakilan UMNO Lumut menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendahului calon lain apabila mendapat 324 undi, diikuti Datuk Seri Shafie Apdal(284 undi) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (220 undi).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");