Perak Hari Ini

Transformasi Politik Mampu Beri Perubahan Kepada UMNO

PERAK TODAY 1

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Khusairi Talib menyokong transformasi yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak yang dilihat berjaya menyuburkan amalan demokrasi secara terbuka dalam parti itu.

Katanya, transformasi menggantikan muka-muka lama dengan muka baru membuktikan parti itu lebih ke depan dalam menegakkan amalan demokrasi yang sentiasa menjadi tonggak utama UMNO.

“Seharusnya semua ahli UMNO khususnya para perwakilan menyahut seruan yang dibuat presiden parti dengan melaksanakan transformasi terhadap parti,” ujarnya.

Namun begitu, sekiranya penyandang jawatan berkenaan menunjukkan prestatsi yang membanggakan, beliau mengakui para perwakilan tidak akan mengubah pemimpin yang sedia ada.

“Tetapi sekiranya pemimpin telah lama menyandang jawatan tersebut dan prestasinya juga telah merosot, maka perwakilan harus mengambil keputusan menyahut seruan parti dengan membuat perubahan,” tegasnya.

Mohd Khusairi turut menjelaskan keputusan yang dibuat para perwakilan tidak semuanya dapat dijangka.

Jelasnya, keputusan kebanyakannya bergantung kepada prestasi para perwakilan sepanjang kepimpinan selain hubungan yang dijalinkan mereka.

“Dalam politik, apabila hubungan antara pemimpin berkenaan dengan pimpinan bahagian tidak selari, ia secara langsung menjejaskan pemilihan.

“Kemungkinan hasrat perwakilan untuk melihat perubahan kepimpinan sayap-sayap di peringkat bahagian tidak akan berlaku jika hubungan ini tidak selari,” katanya.

Beliau memberi contoh keputusan sayap Wanita UMNO Bagan Datoh yang menyaksikan Ketua Wanitanya kalah teruk apabila hanya memperolehi 39 undi sahaja berbanding lawannya yang mendapat 329 undi.

“Situasi ini berlaku kerana para perwakilan mahu mengetengahkan muka baru dan ingin melihat perubahan,” jelas Mohd Khusairi lagi.

Sementara itu, beliau juga bercadang membuka bilik gerakan baru bagi memudahkan keputusan pemilihan bagi setiap bahagian Perak disalurkan dengan cepat dan mudah.

Katanya, cadangan ini bagi memberi kemudahan kepada para media mengikuti keputusan perkembangan dari semasa ke semasa apabila pemilihan dilihat memakan masa yang panjang.

“Saya pasti kemungkinan pemilihan perwakilan akan berlaku sehingga lewat malam… jadi dengan adanya bilik gerakan yang akan ditubuhkan ini, ianya memudahkan semua pihak.

“Saya juga akan menubuhkan Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO negeri untuk kita sama-sama melihat keputusan secara langsung dari semasa ke semasa yang disalurkan oleh bahagian-bahagian,” tambah beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");