Sukan Hari Ini

TRW tampil senjata baru musim depan

anuar musa

MESKIPUN sedang menjalani penggantungan selama 30 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak April tahun lalu, namun Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, tidak pernah berhenti bekerja demi memajukan industri bola sepak negeri ini ke satu tahap pencapaian dibanggakan.

Supremo bola sepak Kelantan itu, sentiasa berkongsi pandangan menjadikan Kafa, sebuah persatuan bola sepak negeri berdaya maju menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2014.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan sukan, Noor Hafiza Che Abdullah dan jurufoto, Azmi Aryanto bersama beliau di kediamannya di Bukit Damansara baru-baru ini.

Bagaimana Tan Sri melihat pencapaian The Red Warriors (TRW) dalam Liga-M musim ini?

Alhamdulillah, 2013 agak menarik buat Kafa. Setelah memenangi Piala FA 2013, kita juga menjuarai Piala Presiden bawah 21 tahun. Bukan itu sahaja, kita juga merangkul naib Juara Piala Belia bawah 19 tahun. Dan Insya ALLAH, sekiranya Kelantan menjuarai Piala Malaysia, ia membuatkan lagi pencapaian TRW musim ini lebih cemerlang.

Adakah Tan Sri yakin pencapaian ini dapat dikekalkan musim 2014?

Setelah mendapat laporan yang jelas pemain kita telah pun dipancing pasukan lain dan mengikut sistem sekarang, kita tak ada keupayaan untuk menyekat mereka.

Oleh itu, saya memberi peluang untuk mereka berhijrah. Bagaimanapun saya akan berjumpa dengan mereka dan menerangkan terlebih dahulu rancangan untuk musim depan. Sejurus itu mereka boleh fikirkan sama ada kekal atau sebaliknya.

Begitu pun, berapa ramai pemain yang meninggalkan TRW, yang pasti saya tidak akan membiarkan TRW menjadi mangsa. Sudah tentu saya akan mencari jalan untuk mengekalkan Kelantan sebagai salah satu pencabar utama. Oleh sebab itu saya sudah membuat rancangan untuk tahun depan. Kita akan tetap berusaha untuk mengangkat level Kelantan pada tahap yang lebih tinggi.

Perancangan bagaimana yang Tan Sri maksudkan?

Insya-ALLAH untuk musim depan, kita akan memilih barisan jurulatih dengan beberapa opsyen. Memang kita telah membuat tawaran kepada Bojan Hodak, tetapi beliau cuma salah seorang calon kerana kita tidak mahu terikat dengan seorang jurulatih sahaja. Kalau boleh kita mahu melihat seluruh dunia dan prospek tahun depan kita mahu jurulatih yang boleh membuat development (pembangunan) jangka panjang buat Kelantan. Kita juga mahu jurulatih yang mempunyai pendedahan antarabangsa. Saya tak kata jurulatih tempatan tak bagus, tapi yang saya cakap sebelum ini Kafa ingin mempunyai jurulatih yang mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa kerana mahu memberikan ilmu yang tinggi kepada pemain.

Untuk pemain import pula, kita akan memastikan semuanya berkualiti. Kita bakal dibarisi empat pemain import termasuk seorang dari Asia Barat. Hanya tiga atau empat pemain tempatan sahaja lagi yang bakal dilengkapkan secara strategi dan disesuaikan dengan keupayaan jurulatih bertaraf antarabangsa. Apa yang saya boleh cakap tiada masa rehat bagi TRW. Persiapan 2014 bermula dari sekarang.

Adakah itu bermakna Kafa tidak akan menyambung kontrak Bojan serta pemain import yang sedia ada?

Kafa sudah membuat tawaran untuk Bojan sama ada mahu kekal atau pun tidak. Tapi seperti yang saya cakap kita akan mencari sebaik mungkin jurulatih untuk membimbing Kelantan musim depan dan sebab itu kita memberi beliau kebebasan untuk membuat keputusan. Manakala untuk pemain import, Kafa sedang melalui proses terakhir untuk berunding dengan pasukan kebangsaan di sebuah negara Afrika yang mempunyai rekod penjaring terbaik untuk bersama TRW.

Dan kita kena faham, objektif kita sekarang untuk memperkuatkan kesebelasan utama. Jadi untuk memastikan tahun depan lebih mantap proses pemilihan kena teliti dan terbuka. Saya tidak nafikan Dickson dan Obinna cukup bagus tetapi pada masa sama kita juga mesti ada opsyen dan pemain import mesti dilakukan dengan terbuka kerana ini sahaja ruang untuk kita memperbaiki kelemahan setiap kelompangan yang dilakukan pemain tempatan.

Jadi, tiga pemain import ini saya kena pilih sampai ke peringkat terakhir, Namun saya tidak menolak kemungkinan Dickson dan Obinna akan kekal bersama Kelantan atau sebaliknya apatah lagi kalau kita jumpa pemain lebih baik. Maka disebabkan itu saya nak opsyen terbuka sampai akhir sebab pemain import ada pilihan seluruh dunia berbanding pemain tempatan.

Jadi, setakat ini sejauh mana persiapan yang sudah dilakukan Kafa untuk memantapkan TRW musim depan?

Dari segi persiapan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Malah kita juga sudah mempunyai senarai pemain yang sedang untuk dimuktamadkan. Namun apa sekali pun kita lakukan untuk memantapkan pasukan TRW, saya tetap tidak akan membiarkan Kelantan dibarisi pemain luar. Macam mana sekali pun saya akan pastikan TRW akan dibarisi pemain Kelantan. 70 hingga 80 peratus mesti anak jati Kelantan. Dan saya yakin dengan adanya pemain dari Piala Presiden, Kelantan akan lebih kuat dari musim sebelumnya. Jadi tidak timbul Kelantan adalah pasukan cap ayam musim depan.

Insya-ALLAH sebaik sahaja saingan Piala Malaysia berakhir saya akan umumkan line up jurulatih dan sebagainya meskipun semuanya sudah lengkap. Kita cuma tak nak ganggu persiapan pemain untuk mengharungi tiga lagi perlawanan musim ini.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");