Berita Hari Ini

Anifah: Tak wajar risik negara bersahabat

Anifah-Aman

SHAH ALAM – Menteri Luar Negara, Datuk Seri Anifah Aman menyatakan aktiviti risikan tidak wajar dilakukan oleh negara bersahabat memandangkan ia boleh menjejaskan hubungan yang terjalin.

Beliau berkata demikian kepada Menteri Luar Australia, Julie Bishop dalam satu Mesyuarat Ke-13 Majlis Menteri-Menteri Indian Ocean Rim-Association For Regional Co-Operation (IOR-ARC), semalam.

“Aktiviti sedemikian tidak sepatutnya dilakukan oleh negara yang bersahabat rapat memandangkan ia boleh menjejaskan hubungan yang sedia terjalin,” katanya dalam satu kenyataan media.

Khamis lalu, media Australia mendedahkan Lembaga Pengarah Pertahanannya telah menjalankan operasi pengawasan rahsia.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar tempatan Australia turut menyebut, laporan risikan tersebut diperoleh daripada negara yang mempunyai hubungan diplomatik iaitu pejabat kedutaan di Bangkok, Jakarta, Beijing, Hanoi, Dili dan pejabat pesuruhjaya tinggi di Kuala Lumpur serta Port Moresby.

Mengulas perkara sama, Anifah juga berkata, dalam perjumpaan itu beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap laporan media mengenai isu perisikan tersebut yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tambah Anifah, Bishop juga telah mengambil maklum tentang kebimbangan yang disampaikan berhubung isu tersebut sekaligus memberi jaminan bahawa Kerajaan Australia akan menjaga kepentingan dua hala yang telah terjalin.

“Bishop dalam reaksi beliau telah memaklumkan bahawa adalah menjadi dasar Kerajaan Australia untuk tidak memberi sebarang komen mengenai isu risikan.

“Bishop juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Australia meletakkan kepentingan yang tinggi dalam hubungan dua halanya yang begitu rapat dengan Malaysia,” jelasnya.

Selain itu, Anifah juga berkata kedua-dua menteri mengakui hubungan mesra yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara dan perlu kerjasama dalam menangani situasi ini bagi mengelak daripada terjejasnya hubungan akrab antara Malaysia dan Australia.

Katanya, kementerian juga bersetuju untuk meneruskan rundingan rapat dan perbincangan yang kerap berkaitan isu-isu berkepentingan bersama termasuklah isu keselamatan bagi mempertingkatkan kepercayaan dan keyakinan antara kedua-dua negara.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");