Perak Hari Ini

Bajet 2014: Pembangunan Jadi Tumpuan Utama Kerajaan Perak

PERAKTODAY DUN13- 6

Pembentangan Bajet 2014 yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini memperlihatkan hampir sebahagian peruntukan pembangunan difokuskan ke arah mewujudkan masa hadapan yang cemerlang untuk rakyat Perak.

Peruntukan perbelanjaan berjumlah RM154.56 juta tersebut membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited dalam memenuhi keperluan rakyat sekaligus menepati janji.

“Kerajaan negeri akan memastikan setiap golongan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan yang akan dirancakkan lagi pada tahun 2014.

“Pelbagai program berbentuk kemasyarakatan akan dilaksanakan bagi membantu rakyat mengecapi kehidupan selesa selain mensejahterakan kehidupan mereka.

“Peruntukan ini juga membantu dari segi menyempurnakan hak mereka sebagai penduduk negeri Perak,” ujarnya semasa membentangkan Bajet 2014 pada hari pertama Sidang DUN Ke-13, di Ipoh, hari ini.

Katanya lagi, melalui peruntukan itu, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan pelbagai program bagi semua lapisan masyarakat supaya golongan ini dapat turut serta merasai pembangunan yang dijalankan.

Antaranya, Program Pembangunan Wanita dan Kebajikan yang membabitkan peruntukan RM3 juta, Program Pengupayaan Generasi Muda (RM2 juta) Program Perpaduan Masyarakat (RM0.7 juta) dan Penggalakan Sukan OKU (RM0.2 juta).

“Selain itu, dalam konteks bantuan kebajikan pula, agihan peruntukan sebanyak RM3 juta melalui Skim Tabaruk juga akan dilaksanakan mulai tahun hadapan, RM1 juta akan diperuntukkan untuk membina 250 unit Kiosk Amanjaya dan RM12 juta lagi disediakan untuk melaksanakan Program Perumahan Rakyat membabitkan pembinaan 150 unit rumah yang dijangka siap pada penghujung 2014.

“Buat julung kalinya, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan RM1 juta bagi program sukan massa iaitu sukan untuk semua golongan khususnya melibatkan masyarakat setempat seperti futsal dan bola sepak yang bertujuan mengekalkan serta meningkatkan tahap kesihatan rakyat,” katanya.

Di samping itu, tambah beliau, penambahan peruntukan perbelanjaan bagi program-program sedia ada turut dilakukan oleh kerana program tersebut mendapat sokongan daripada pihak yang terlibat.

“Peruntukan yang dinaikkan adalah program pencegahan jenayah daripada RM500,000 kepada RM1 juta, Program Perpaduan Rukun Tetangga daripada RM200,000 menjadi RM700,000 dan Skim Tabaruk pula menjadi RM3 juta.

“Beberapa insentif dan kemudahan lain juga diperkenalkan antaranya pemberian RM3,000 sebulan kepada 59 pusat khidmat ADUN bermula tahun hadapan,” jelasnya.

Secara keseluruhan, peruntukan perbelanjaan pembangunan tahun 2014 meningkat kepada RM338.98 juta, bertambah RM16.78 juta (5.2 peratus) berbanding RM322.2 juta pada tahun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");