Jenayah

Ditipu Lelaki Bergelar ‘Datuk’

jenayah

KOTA BHARU: Seorang warga emas kerugian hampir RM500,000 akibat ditipu lelaki bergelar ‘Datuk’ selepas geran tanah miliknya ditukar milik tanpa pengetahuannya oleh lelaki terbabit, dalam kejadian di Kampung Pasir Tok Kambing, Sering, di sini.

Mangsa, Omar Abdullah, 79, berkata, dia bercadang menyerahkan tanah pusaka miliknya itu kepada sembilan anaknya dengan melakukan pecahan lot tanah terbabit dan mengharapkan anak bongsunya, Sudirman, 36, yang tinggal di Kuala Lumpur dapat menyelesaikan urusan itu pada Januari lalu.

“Semasa ingin melakukan urusan berkenaan, Sudirman bertemu dengan rakan sekolahnya dan menceritakan hal tersebut kepada lelaki berkenaan yang kini bergelar ‘Datuk’ dan dengan rela hati, rakannya itu menawarkan diri untuk membantu menyelesaikan urusan itu.

“Disebabkan dia mempercayai rakan yang dikenalinya sejak bangku sekolah, selain mempunyai pangkat dan berpengaruh, akhirnya dia bersetuju kerana lelaki itu berjanji menyelesaikan urusan tersebut dengan cepat, dengan mengenakan bayaran RM5,000 untuk urusan berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Omar berkata, urusan itu masih tidak menampakkan hasil sehingga berbulan lamanya, memandangkan Sudirman berurusan dengan rakannya itu sejak Januari lalu.

“Lebih empat bulan pakcik tunggu, dari sehari ke sehari masih tidak nampak hasilnya, malah pakcik khuatir dengan tindakan rakan Sudirman itu.

“Pakcik tekad merujuk kes ini ke Pejabat Tanah pada Mei lalu untuk mengetahui status tanah berkenaan, untuk kenal pasti sama ada urusan pecahan lot tanah telah selesai atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, hasil pertemuan itu, pihak berkenaan menyatakan penama untuk milikan tanah itu tidak lagi tertera namanya, sebaliknya telah ditukar milik.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan tukar milik dilakukan bukan atas persetujuan saya dan sepatutnya ia tidak boleh diluluskan.

“Saya mengharapkan perkara ini disiasat oleh pihak berkenaan dengan segera, memandangkan saya masih pemilik yang sah dan perkara ini berlaku di luar pengetahuan saya,” dakwanya.

Berikutan kejadian itu, Omar membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Ab Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.

 
– Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/ditipu-lelaki-bergelar-datuk-1.224654

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");