Perak Hari Ini

Sedia Peruntukan RM1 Juta Bukti Perak Prihatin Pembangunan Sukan Massa

PERAKTODAY DUN13-10

Peruntukan RM1 juta dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam membuktikan kerajaan negeri begitu prihatin terhadap pembangunan sukan massa di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata buat pertama kalinya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan itu, sekaligus memberi ruang kepada penganjuran lebih banyak program sukan massa di Perak pada tahun hadapan.

Selain itu, peruntukan RM200,000 khusus untuk pembangunan sukan membabitkan golongan kurang upaya (OKU) juga membuktikan Bajet 2014 cukup mesra rakyat.

“Ini membuktikan keyakinan kerajaan Perak untuk mengupayakan OKU dalam bidang sukan dan buat pertama kalinya, RM1 juta disediakan untuk menjayakan program sukan massa pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ipoh, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Shahrul Zaman berkata, Bajet 2014 juga masih memberi fokus kepada program pengupayaan generasi muda dengan menyalurkan peruntukan berjumlalh RM2 juta, sekaligus dapat mengupayakan kira-kira 900 persatuan belia yang berdaftar di negeri itu.

Melalui peruntukan itu, program motivasi, pendidikan dan kesukarelaan dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Kita sedia maklum bahawa golongan belia sentiasa dahagakan aktiviti dan melalui peruntukan RM2 juta ini, kita dapat memberi sokongan dan dorongan kepada mereka untuk menjadi barisan pelapis yang membantu menjayakan sasaran Perak menjadi negeri maju menjelang 2015.

“Peruntukan RM3 juta untuk sukan pelancongan juga diteruskan dan kita akan menganjurkan lebih banyak program pelancongan memandangkan 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri katanya, akan bekerjasama untuk membangunkan sukan berprestasi tinggi dan sukan massa bagi mengenalpasti bakat baru di seluruh negeri.

Jelasnya lagi, bakat baru yang dikenalpasti di peringkat daerah boleh diketengahkan untuk menjadi juara di peringkat kebangsaan atau dunia.

Selain itu, KPerak INC tegasnya, menerima peruntukan RM12.5 juta untuk meneruskan agenda pembangunan dalam sektor multimedia negeri.

Beberapa inisiatif juga, kata Shahrul Zaman sudah dan akan diperkenalkan yang membabitkan lima aspek iaitu K-infra, K-goverment, K-society, K- enviroment dan K-economy.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");