Membawang Hari Ini

Izreen rasa bertuah

izreen

Setiap pelakon mengimpikan penat lelah mereka mendapat pengiktirafan. Begitu juga dengan harapan pelakon Izreen Azminda Aznam atau mesra dengan panggilan Izreen yang tidak menduga segala usaha kerasnya dalam lakonan selama ini makin membuahkan hasil.

Walaupun sudah berstatus isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata, ia nyata bukan halangan untuk Izreen mengorak langkah dengan cemerlang dalam karier lakonan diceburinya sejak lapan tahun lalu. Justeru, Izreen berasa cukup bertuah dengan peluang diraih kini.

Tiada apa yang mampu diungkapkan Izreen kecuali rasa syukur tak terhingga sebaik mengetahui namanya tersenarai dalam ‘top 5’ Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama.

Bersaing dengan calon ‘senior’ seperti Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Liza Abdullah termasuk Amanda Misbun, ia diakui sengit dan mencabar buatnya. Tidak mengharapkan sebarang kemenangan, Izreen sekadar memandang positif.

Katanya sudah tersenarai dalam kelompok lima finalis itu sudah cukup bermakna baginya. Apatah lagi, harus berhadapan saingan dengan barisan pelakon otai yang masing-masing bukan calang-calang calon dan sememangnya hebat.

“Saya tidak sedikit pun mengharapkan kemenangan untuk anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama ini. Pada saya, sudah dicalonkan hingga ke tahap ‘top 5’ ini pun cukup bermakna. Kalau ada rezeki menang, itu adalah bonus.

“Apapun, jujur saya katakan memang macam tak percaya sebaik mendapat tahu nama dicalonkan dalam senarai ‘top 5’ itu. Apabila pihak produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd menghubungi saya memberitahu memang tergamam dibuatnya.

“Namun, dalam pada terkejut itu saya amat bersyukur. Ditambah lagi, apabila mengetahui saingan saya dalam kategori itu barisan pelakon dan berpengalaman yang amat disegani,” katanya ketika ditemui pada fotografi khas sempena ASK 2013 di Sri Pentas TV3, baru-baru ini.

Hadir ditemani bayi comelnya, Muhammad Adrian Umar yang berusia empat bulan, ibu muda yang lebih cenderung melakonkan watak antagonis itu bagaimanapun berkata, ia pencalonan anugerah kali pertama pernah diraihnya.

Ujar wanita berusia 28 tahun ini lagi, selain perasaan teruja, dia juga menganggap ia barangkali rezeki anaknya. Jadi, dengan pencalonan diraih itu ia turut menjadi pemangkin semangat kepada untuk terus berusaha pada masa akan datang.

“Sekali pun sekarang saya sudah berkeluarga dan perlu bijak membahagiakan masa terhadap tuntutan kerjaya, ia bukanlah suatu perkara yang sukar. Apatah lagi, suami Mohammad Riza Baharuddin yang juga seorang jurukamera amat memahami.

“Cuma, memandangkan sekarang anak masih kecil dan menyusu badan ada syarat perlu saya ikuti. Buat masa ini, saya takkan berada di lokasi penggambaran sehingga lewat malam. Termasuk menerima tawaran berlakon di luar Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Izreen, apa pasti kini dia semakin matang. Ujarnya, sejak bergelar ibu ternyata kehidupannya yang agak lasak dulu sudah berubah dan kini dia sudah mampu memasak, mengemas dan menguruskan rumah tangga dengan baik.

Elak berlakon adegan ranjang

Berbicara mengenai dirinya yang dilihat cukup selesa melakonkan watak antagonis atau ‘jahat’, Izreen berkata dia seorang yang sukakan cabaran. Jadi, setiap watak antagonis diterima, ia bagaikan mencabar dirinya sendiri.

Pun begitu, katanya kini sudah tiba masanya untuk dia bersikap agak ‘selektif’ pada watak akan dilakonkan. Sebagai isteri dan ibu, dia perlu peka dengan penerimaan suami dan keluarga.

“Biar pun suami saya memberi kebebasan dalam pemilihan watak dilakonkan, namun ada satu permintaannya yang perlu dihormati. Suami tidak kisah saya kerap berlakon watak antagonis asalkan ia tidak membawa ke ranjang.

“Memahami permintaan suami membuatkan kini saya sangat berhati-hati. Apapun, saya lebih selesa berbincang dengan suami lebih dulu untuk mendapatkan pandangannya. Sebagai isteri, saya perlu menghormati permintaan suami,” katanya.

Mengulas pula mengenai kritikan peminat terhadap setiap karakter antagonis dilakonkan, Izreen berkata, tak dinafikan kebanyakan watak dilakonkannya berjaya membuat penonton tidak menyukainya.

Namun, dia melihat ke sudut positif dan sebaik mungkin cuba merealisasikan setiap watak dilakonkan itu mengikut permintaan karakter berkenaan.

Jadi, katanya apabila penonton berasa marah dengan watak antagonis dilakonkan itu secara tidak langsung dia sudah berjaya merealisasikan karakter berkenaan seperti diinginkan.

Apapun, realiti kehidupan Izreen nyata tidak sama seperti watak dilakonkannya. Katanya, dia mungkin nampak jahat dalam lakonan tetapi dalam kehidupan peribadinya dia bersyukur Tuhan menjauhkan dia daripada terpalit kontroversi.

“Bukanlah tidak pernah langsung saya terpalit dengan kisah kontroversi sejak menjadi artis, namun semuanya sudah berlalu dan apa yang terjadi itu ketika pada awal kemunculan saya di persada seni tanah air. Kini, saya sudah matang dan mengharapkan peminat dapat menilai bakat berbanding cerita peribadi diri,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");