Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Berusaha Pelihara, Pulihara Hutan Simpan Kekal

PERAKTODAY DUN13- 6Kerajaan negeri sentiasa berusaha memelihara serta memulihara hutan simpan yang di seluruh Perak untuk kepentingan generasi masa hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) memberitahu, program menanam lagi 2 juta pokok yang dilancarkan pada awal bulan Oktober merupakan salah satu inisiatif berterusan kerajaan negeri dalam mengekalkan dan memulihara hutan di seluruh Perak.

Katanya, beberapa pendekatan serta peruntukan khas diberikan bagi tujuan memelihara keindahan hutan seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2014, Isnin lalu.

“Dalam Bajet 2014, saya telah mengumumkan bantuan khas untuk memulihara hutan kita kerana tidak mahu menghadapi masalah pelupusan khususnya di kawasan terlibat.

“Sehubungan itu, beberapa program konsultasi dilakukan dan kita juga mengambil kira pandangan khususnya daripada golongan masyarakat sivil serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi cadangan berkaitan langkah yang boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) pada hari keempat Mesyuarat Ketiga, Sidang Dewan Kali ke-13 di Ipoh, hari ini.

Selain itu, Zambry juga menjelaskan proses pemansuhan hutan simpan kekal memerlukan bebrapa langkah yang melibatkan kerajaan serta agensi-agensi terlibat.

“Untuk mengeluarkan kawasan-kawasan hutan kekal kepada hutan pengeluaran, ia bergantung kepada cadangan daripada Pejabat Hutan dan seterusnya diikuti daripada laporan daripada agensi yang terbabit.

“Seterusnya kerajaan akan membuat keputusan untuk membenarkan atau sebaliknya dengan berpandukan laporan tersebut,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah menambah keluasan hutan simpan kekal daripada 42.47 peratus kepada 48 peratus yang juga melibatkan kawasan-kawasan tambahan seperti Hutan Simpan Lekir.

Jelas Zambry lagi, sehingga kini, tiada amalan untuk mengadakan konsultasi awam kerana pemansuhan hutan simpan kekal, sekiranya ada tertakluk kepada beberapa enakmen serta akta.

“Jadi, kerajaan negeri terlebih dahulu akan mendapatkan pandangan teknikal daripada agensi-agensi berkaitan dan pihak berkuasa negeri seterusnya akan mempertimbangkan setiap kes pewartaan yang diusulkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");