Jenayah

Kereta terbang sebelum pitam

kemalangan kereta

CAMERON HIGHLANDS – “Saya pandang sekali imbas ke belakang dan ternampak sebuah kereta Proton Iswara melambung tinggi melepasi kepala Ajid sebelum saya diseret tanah”.

Demikian kata mangsa tanah runtuh, Mohd Norsofwa Abdul Wahab menceritakan detik awal kejadian tanah runtuh yang menimpa rakannya, Abdul Yazid Abdul Aziz, 30an, atau Ajid di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, dia tidak sedarkan diri beberapa saat sebelum mendapati longgokkan tanah dan zink berada beberapa jengkal sahaja dari mukanya.

“Ketika berusaha mengeluarkan kaki dari timbunan tanah, tiba-tiba saya terdengar jeritan meminta tolong.

“Saya kuatkan semangat untuk selamatkan diri dan bantu rakan lain,” katanya.

Mohd Norsofwa berkata, sejurus itu, dia mendapati pekerjanya, Adiyus Munir, 47, terhimpit oleh kereta dan motor yang terseret bersama tanah.

“Saya cuba bantu Adiyus tapi gagal lantas saya panggil isteri dan anak yang berada dalam rumah supaya segera selamatkan diri.

“Dalam masa sama, isteri hubungi bomba untuk bantuan,” katanya.

Mohd Norsofwa berkata, bomba terpaksa memotong motosikal tersebut kepada dua bahagian bagi menyelamatkan Adiyus.

Mohd Norsofwa berkata, kejadian itu kali pertama dialami mereka sekeluarga sekali gus menimbulkan kebimbangan sekiranya peristiwa sama berulang.

“Saya bimbang keselamatan keluarga termasuk adik saya bersama isterinya yang turut tinggal bersama kami di bengkel ini.

“Bimbang mereka tidak dapat selamatkan diri kerana keduanya mengalami masalah pendengaran,” katanya.

Mohd Norsofwa menganggarkan kerugian sekitar RM30,000 kesan daripada kejadian tersebut.

Seronok mandi hujan sebelum kejadian

Seorang saksi kejadian, Gunawan Hasanuddin, 21, berkata, hujan lebat hampir satu jam sebelum kejadian berlaku menyebabkan tanah bukit di hadapan bengkel runtuh.

“Sebelum kejadian, saya bersama beberapa lagi rakan sedang mandi hujan di hadapan bengkel sebelum dikejutkan bunyi kayu patah.

“Kami pandang ke arah bukit dan melihat air dan tanah menggelongsor laju ke arah jalan raya,” katanya.

Katanya, dia bersama rakan segera melarikan diri ke dalam bengkel untuk menyelamatkan diri.

“Pada mulanya, kami mahu lari ke arah jalan utama tapi disebabkan jalan di hadapan bengkel ditimbus tanah maka kami tiada pilihan lain selain masuk ke dalam bengkel,” katanya.

Gunawan berkata, kejadian turut mengakibatkan beberapa kenderaan rosak selain beberapa rumah dan bengkel terjejas.

Hujan lebat punca kejadian

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan sebahagian tebing bukit itu runtuh.

Menurutnya, polis dengan kerjasama pasukan bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa yang terperangkap akibat runtuhan sekitar jam 8 malam dan mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini untuk rawatan.

“Adiyus cedera manakala Mohd Norsofwa cedera ringan sementara Abdul Yazid pula patah kaki.

“Tiada aktiviti penerokaan dijalankan di bukit itu. Hujan lebat antara faktor berlaku tanah runtuh,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");