Membawang Hari Ini

Konvoi promosi Paku

konvoi paku

Siri jelajah mempromosikan filem Paku di Ipoh, Perak meriah dengan kehadiran lebih 30 orang av hli kelab motosikal berkuasa tinggi, E-Tiraf Bikers Ipoh mengiringi rombongan ke TGV, AEON Ipoh Station 18 baru-baru ini.

Sebaik saja dimaklumkan siri jelajah itu akan diadakan, tanpa banyak bicara ketua kumpulan itu Mohd Rani terus mengumpulkan ahli kelab untuk bersama-sama memeriahkan acara pada petang itu.

Mohd Rani berkata, walaupun mereka diberitahu dalam jangka masa singkat namun ia bukan penghalang untuk bersama-sama membantu mempromosikan filem Paku.

“Semua ahli gembira kerana dapat berjumpa dengan hero dan heroin filem Paku iaitu Johan As’ari dan Aishah Ilias yang sangat ramah. Peluang bertemu dan bergambar dengan artis bukannya datang selalu,” katanya.

Sebelum tiba di Ipoh, siri jelajah itu diadakan di Pulau Pinang, Kerteh, Kuantan, Johor, Melaka dan Seremban. Siri jelajah terakhir akan diadakan Kuala Lumpur dan Klang pada 7 dan 8 Disember ini.

Paku akan mula ditayangkan pada 12 Disember ini.

Filem seram ini yang menggunakan tagline, ‘Bila Cinta Menjadi Seram’ mengisahkan pasangan suami isteri iaitu Fahmi dan Rania. Bagaimanapun ikatan kasih mereka terlerai apabila Rania meninggal dunia dalam tragedi yang mengerikan. Kehilangan Rania menjadikan Fahmi separuh gila dan dia berusaha untuk menghidupkan semula Rania.

Paku adalah filem terbitan Nusantara Seni Karya, arahan P Ramesh. Turut berlakon dalam filem ini ialah Kamal Adli, Azad Jasmin, Zaidi Omar, Sidek Hussein dan Diana Johor.

Dalam pada itu Johan berkata, dia gembira sambutan yang diberikan peminat di semua lokasi dan berharap mereka akan pergi beramai-ramai untuk menonton filem itu.

“Saya gembira menyertai siri jelajah ini kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab jawab saya untuk mempromosikan filem ini. Tugas pelakon tidak semestinya berakhir apabila selesainya sesuatu penggambaran filem sebaliknya mereka perlu membantu memberi publisiti kepada filem itu.

“Apabila turut sama dalam siri jelajah ini saya berpeluang untuk berehat seketika kerana promosi hanya dilakukan pada sebelah petang. Hati terhibur dan penat lelah membintangi Paku rasa terbayar apabila dapat bertemu peminat di setiap lokasi,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama Istidraj Cinta arahan Murali Abdullah.

Demi komitmennya mempromosikan Paku, Johan minta kebenaran untuk bercuti selama dua hari daripada Murali.

“Jika ada komitmen lain sekali pun tiada masalah untuk saya turun ke lokasi promosi filem Paku asalkan kita beritahu pengarah dan pengurus produksi.

Alhamdulillah mereka memberikan keizinan untuk saya menyertai siri jelajah di Pulau Pinang dan Ipoh walaupun pada masa sama saya ada penggambaran Istidraj Cinta,” katanya.

Aishah yang baru balik bercuti dari Eropah selama seminggu belum sempat berehat tetap menyertai siri jelajah itu.

“Sebagai artis baru, siri jelajah ini memberi peluang kepada saya untuk berkenalan dengan peminat. Saya akui belum begitu dikenali ramai dan inilah cara terbaik untuk saya mendekatkan diri dengan mereka,” katanya.

Siri jelajah itu turut mendapat kerjasama daripada pengasas Vida Beauty, Datuk Dr Vida@Hasmiza yang sudi menaja produk kecantikannya dan Mamee Double Decker. Acara jelajah itu diacarakan Roslan Shah dan Kelly Azman.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");