Berita Hari Ini

KP Unesco: PPPM contoh baik

Dr Irina Bokova.

PARIS – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 merupakan satu agenda besar bagi menerapkan pembangunan pendidikan yang inklusif dan saksama sebagai asas bagi pertumbuhan tinggi ekonomi, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) Dr Irina Bokova.

“Pendidikan adalah hak asasi manusia yang penting bagi maruah individu, dan ia juga membawa kelestarian kepada semua pembangunan, sebagai satu kuasa positif bagi kejayaan transformasi dan juga ekonomi.

“Inilah semangat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya pada program Gallery Walk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di ibu pejabat Unesco di sini pada Jumaat.

Program itu dihoskan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.

Memuji Malaysia bagi insiaitif itu, beliau berkata PPPM yang dilancarkan pada September juga menjadikan Malaysia sebagai contoh baik dan ia boleh diaplikasi dan berguna bagi negara anggota Unesco yang lain.

“Kami dalam Unesco, kami percaya dengan pelan ini, kami percaya ia akan dapat dicapai, sebab itu kenapa contoh sebegini penting bagi kami untuk menunjukkan ia boleh dilakukan jika diberi fokus dan sumber-sumber yang betul,” katanya.

Bokova berkata, beliau gembira dan bangga bahawa Unesco telah menyumbang kepada PPPM menerusi Semakan Dasar Pendidikan yang dilancarkan pada 2011 oleh Kementerian Pendidikan, untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan menyediakan kanak-kanak dan belia Malaysia dengan keperluan abad ke-21.

Beliau berkata, Semakan Dasar merupakan satu proses yang unik, melibatkan semua pihak berkepentingan, bagi mendapatkan penilaian bebas dan cadangan-cadangan dasar dan disusuli dengan sokongan bagi pelaksanaannya menerusi pembangunan kapasiti dan pendekatan inovatif.

“Berdasarkan pengalaman ini, semakan dasar pendidikan kini menjadi antara keutamaan Unesco dalam bidang pendidikannya. Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang telah memberi peluang kepada pertubuhan untuk menimba ilmu dalam perkara ini.

“Banyak negara pada ketika ini merujuk kepada Unesco bagi mendapatkan nasihat berkualiti, bagi sokongan pembinaan kapasiti, bagi kesaksamaan dan kualiti dalam pendidikan. Ini merupakan peluang menimba ilmu bagi semua negara.

“Ini akan disebarluaskan menerusi sokongan bersama Unesco dan Pertubuhan bagi Kerjasama dan pembangunan Ekonomi, dan saya mengalu-alukan permintaan seterusnya daripada negara-negara anggota yang lain,” katanya.

Bokova berkata, Malaysia mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsi dan amalan-amalan baik yang mungkin berguna untuk negara lain.

“Dan Unesco juga berperanan menyediakan platform bagi perkongsian pengalaman. Untuk menjadi bermakna, menjadi mampan, pembangunan perlu secara inklusif dan saksama. Ia perlu seimbang dan holistik.

“Pendidikan ialah cara paling berkuasa untuk menerapkan semua dimensi agenda ini,” katanya.

Beliau sendiri menyaksikan strategi kerajaan Malaysia yang mementingkan pendidikan dalam pembangunan negara, semasa melawat Malaysia Mei lepas.

“Saya amat berbesar hati dapat melawat Malaysia dan bertemu Perdana Menteri Najib Razak (Datuk Seri Najib Tun Razak), dan mengetuai perbincangan mengenai cabaran-cabaran semasa pertumbuhan ekonomi dan juga pendidikan.

“Lawatan ini dilakukan sempena sambutan ulang tahun ke-5 Pusat Antarabangsa Sains, Teknologi dan Inovasi bagi Kerjasama Selatan-Selatan, Pusat Kategori Dua terkemuka di bawah naungan Unesco,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");