Berita Hari Ini

Ubah persepsi negatif terhadap sektor pertanian

Ismail Sabri Yaakob

KUANTAN – Perubahan persepsi negatif masyarakat khususnya golongan muda terhadap sektor pertanian kini menjadi agenda utama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan golongan itu.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini bidang pertanian masih dilihat sebagai sektor yang tidak mampu berkembang, mengamalkan cara lama, perlu bekerja dalam persekitaran kotor dan sering dikaitkan dengan perkara negatif.

“Penubuhan Majlis Perundingan Agropreneur Muda membuktikan kementerian serius dalam menangani isu kekurangan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian negara,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013 di sini, hari ini.

Majlis sambutan yang dihadiri hampir 10,000 pengunjung itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, pada masa kini seramai 12.5 juta atau 43.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia iaitu 28.5 juta, terdiri daripada golongan belia.

Bagaimanapun katanya hanya 15 peratus golongan muda yang terlibat dalam sektor pertanian.

“Saya berharap dengan adanya Majlis Perundingan Agropreneur Muda dan Unit Agropreneur Muda yang ditubuhkan akan menarik golongan muda untuk terlibat dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan amat serius dalam mengubah persepsi negatif itu bagi mendekatkan dan meningkatkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian yang merupakan penyumbang ketiga terbesar ekonomi negara.

“Kita tidak mahu masyarakat terutamanya golongan belia menganggap bahawa mereka yang terlibat dalam dunia pertanian adalah orang miskin sedangkan di negara maju seperti Jepun, Belanda dan Korea, orang yang terlibat dalam bidang pertanian adalah orang kaya dan berjaya.

“Kementerian akan terus melaksanakan pelbagai pendekatan bagi menarik golongan muda menyertai sektor ini kerana kita menyasarkan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kita mampu melahirkan ramai usahawan muda tani berjaya di negara ini,” katanya.

Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan kali-38 itu telah bermula sejak semalam dan berakhir pada 15 November.

Pelbagai aktiviti antaranya pameran, seminar, pertandingan dan sukan rakyat turut diadakan dan dijangka bakal menarik seramai 200,000 pengunjung.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");