Perak Hari Ini

KPerak Inc, YIM Meterai MoU Laksana Program Inovasi, Kreatif

PERAK TODAY 1

KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak Inc) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi menjalin kerjasama untuk melaksana, mengenalpasti dan mempromosikan program inovasi dan kreatif yang membabitkan kepentingan bersama di negeri Perak.

MoU itu merangkumi kebenaran menganjurkan program seperti pertandingan dan pameran untuk mempamer serta mempromosikan idea dan inovasi kreatif di kalangan rakyat Malaysia.

Jelajah Inovasi adalah sebahagian daripada program yang dirancang dengan tujuan mengenalpasti produk inovasi baru di kalangan rakyat Perak.

Selain itu, jelajah terbabit itu juga memberi peluang kepada generasi muda terutamanya di kawasan luar bandar untuk menghasilkan produk inovasi baru dengan mewujudkan skuad khas dikenali sebagai Skuad Inovasi.

KPerak Inc dan YIM akan menyediakan khidmat nasihat dalam pembangunan komersil dan inovasi yang menjadi sebahagian daripada MoU yang dimeterai kedua-dua belah pihak.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang mana KPerak Inc diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff manakala YIM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mazalan Khamis sambil disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin dan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mewakili Menteri Besar Perak.

Sementara itu, Shahrul Zaman menjelaskan kerjasama antara KPerak Inc dan YIM boleh menjadi platform kepada agensi kerajaan negeri itu untuk memperkenalkan sebanyak mungkin produk inovasi dan industri yang berteraskan ilmu pengetahuan.

Tambahnya, melalui perkongsian pintar itu juga, YIM yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bertindak sebagai pembimbing kepada KPerak Inc untuk memperbanyakkan lagi inisiatif dan informasi berkaitan industri yang berasaskan ilmu pengetahuan.

“Kita tidak mahu fokus kepada inisiatif atau industri tertentu sebaliknya menilai secara menyeluruh kerana bidang inovasi itu sendiri cukup luas dan ia tidak semestinya membabitkan sesuatu perkara yang baru sahaja.

“Selain itu, KPerak Inc dan YIM juga ingin meningkatkan kesedaran umum bahawa teknologi boleh menjadi platform untuk menambahbaik industri perniagaan khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS), sekaligus dapat meningkatkan produktiviti dan mengembangkan rangkaian pemasaran sesebuah syarikat,” kata Shahrul Zaman lagi.

Jika sebelum ini menggunakan kaedah konvensional, penggunaan teknologi hari ini seperti internet dapat memudahkan pengusaha untuk memasarkan produk mereka secara on-line, katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui KPerak Inc akan terus berusaha berusaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pengusaha tempatan untuk menggunapakai teknologi dan inovasi dalam usaha meningkatkan produktiviti selain mengembangkan rangkaian pemasaran sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nazaruddin memberitahu, KPerak Inc akan menjelajah ke seluruh daerah di Perak untuk mempromosi dan mengenalpasti produk inovasi yang berpotensi untuk dikomersilkan hingga ke peringkat nasional.

Bermula Julai lalu, agensi itu katanya, mengenalpasti 40 produk inovasi hasil Jelajah Inovasi yang membabitkan empat daerah di Perak.

Mengulas mengenai MoU antara KPerak dan YIM pula, beliau menegaskan kerjasama itu akan membuka jalan kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan Pusat Inovasi Perak.

Jelasnya, usaha itu juga selaras dengan objektif gagasan Perak Amanjaya yang ingin menyediakan peluang dan kehidupan yang berkualiti kepada rakyat negeri itu.

“Melalui program yang dirancang, kita yakin dapat mencapai objektif atau sasaran gagasan Perak Amanjaya,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");