Sukan Hari Ini

Mahali terkejut bakal saingi Mat Yo, Shahril

mahali1

Aksi Mahali ketika menentang Indonesia baru-baru ini menerima pujian pelbagai pihak:-

SIAPA sangka kerja keras yang dilakukan oleh bekas pemain Selangor, Mahali Jasuli akhirnya membuahkan hasil apabila beliau tersenarai dalam dua pencalonan untuk anugerah bola sepak kebangsaan 2013 iaitu Pemain Pertahanan Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Malahan, si empunya diri juga hairan dengan pencalonan itu kerana berasakan persembahannya musim lepas tidak memuaskan berbanding pemain lain.

Namun takdir Tuhan tak siapa yang dapat menduga. Biarpun terkejut, namun bek kental Harimau Malaya itu tetap teruja dengan pencalonan tersebut dan menganggap satu penghargaan kepadanya sepanjang bergelar pemain.

Malah katanya, tersenarai bersama nama-nama besar seperti Norshahrul Idlan Talaha (Johor Darul Ta’zim), Norfarhan Muhammad (Kelantan), Mohd Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Shahril Ishak, Baihakki Khaizan (Lions XII) dan Mohd Amri Yahyah (Selangor) dalam kategori pemain paling bernilai nyata membuatkan beliau gementar.

“Susah nak gambarkan perasaan saya ketika ini. Macam tak percaya pun ada juga tapi pada masa yang sama, saya sangat bersyukur kerana tercalon. Tapi saya juga harus bersikap realistik, mampukah saya menandingi mereka yang lebih hebat?

“Rasanya terpilih berada dalam enam terbaik ini pun dah memadai. Ia satu pencapaian yang besar buat diri saya. Mungkin, kata-kata ini kedengaran klise tapi itulah hakikatnya.

“Lagipun saya sendiri tidak puas hati dengan pencapaian musim ini dan saya yakin pemain lain yang lebih menyerlah daripada saya akan menang, yang pasti bukan saya,” katanya.

Bukan saja tersenarai sebagai calon enam terbaik pemain paling bernilai, malah Mahali yang bakal menyarung jersi Harimau Selatan musim depan turut dicalonkan dalam kategori pemain pertahanan terbaik.

Dalam kategori itu, Mahali akan bersaing dengan lima pemain lain iaitu, Baihakki Khaizan (Lions XII), Azizi Mat Rose (Kelantan), Razman Roslan (Pahang), Jalaluddin Jaafar (Pahang), Amiridzwan Taj Tajudin (ATM).

“Saya sendiri tidak menyangka dengan pencalonan ini. Pada mulanya saya tidak percaya kerana tiada hitam putih mengenai pencalonan ini.

“Tapi seperti saya katakan, pencalonan ini satu penghargaan dan saya mengucapkan terima kasih kerana menilai persembahan saya selama ini.

“Dan jujur saya katakan saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk menang kerana saya rasa pemain lain lebih layak untuk menang. Tapi kalau saya menang itu satu bonus untuk saya dan satu suntikan semangat untuk mengharungi Liga Malaysia musim depan,” katanya,

Difahamkan, satu panel pemilihan terdiri daripada wakil MFCA, ahli dari Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan pegawai FAM bermesyuarat memilih pemenang yang akan berlangsung, hari ini.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");