Jenayah

Mak nyah ditetak pelanggan

maknyah ditetak

MUAR – Malang buat seorang lelaki berperwatakan wanita (mak nyah) apabila bukan hanya tidak mendapat bayaran, malah turut dicederakan pelanggan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di sini, kelmarin, mangsa ditetak pada bahagian kepalanya menggunakan pisau selain rantai leher yang dipakai diragut.

Mangsa menerima lebih 20 jahitan dengan kesan tetak pada bahagian kepala di samping cedera pada jari serta telapak tangan.

Sumber memberitahu, mangsa mengenali suspek yang menjadi pelanggannya pada malam kejadian.

Menurutnya, mereka bertemu di bandar ini sebelum dibawa pulang ke bilik mangsa tanpa rasa curiga.

“Selesai melanggan, suspek cuba mencuri beg tangan mangsa yang mengandungi banyak barang kemas.

“Berlaku pergelutan apabila mangsa cuba untuk mempertahankan beg tangan miliknya, namun suspek bertindak agresif dengan menetak kepala mangsa menggunakan pisau yang disembunyikan dalam sebuah beg sandang,” katanya semalam.

Sumber berkata, suspek turut memaksa mangsa yang berada dalam keadaan kesakitan supaya membuka pintu bilik yang berkunci dari dalam.

Katanya, suspek sempat merentap rantai emas pada leher mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa segera menghubungi rakannya untuk pertolongan dan kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian dan suspek kini sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");