Berita Hari Ini

Perlu ubah persepsi negatif

UBAH

BERA – Urusan rasmi di jabatan kerajaan boleh berjalan lancar sekiranya komuniti saling mengenali kakitangan terbabit terutamanya apabila membabitkan komunikasi dua hala.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seberang Guai, Safie Yahya berkata, kesukaran komuniti untuk berurusan dengan kakitangan jabatan atau agensi kerajaan menyebabkan ada sebahagian urusan tergendala.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, JKKK berusaha merapatkan perhubungan antara mereka menerusi aktiviti kemasyarakatan yang dilihat mampu mengubah persepsi negatif sebelum ini.

“Kalau boleh kita mahu ubah persepsi sebelum ini yang takut-takut untuk berkomunikasi atau bertanya soalan jika ada kemusykilan berkaitan sebarang urusan rasmi kepada kakitangan yang bertugas.

“Sedangkan, mereka berhak bertanya kerana perkara itu adalah berkaitan urusan mereka sendiri. Jadi, kalau tidak faham, sudah pasti sukar untuk berurusan lebih-lebih yang memerlukan pengisian borang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata pada Karnival Sukan Rakyat Antara Kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Bera, dan JKKK di Daerah Bera Tahun 2013, anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan dan Rekreasi Pejabat Daerah dan Tanah Bera (D’lora) dan JKKK Seberang Guai, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah, Datuk A Rahman Hamzah.

Dalam program itu, sebanyak 13 acara sukan rakyat dipertandingkan seperti anyaman ketupat, terompah tempurung, batu seremban dan rakit darat.

Safie berkata, semua acara tersebut, menyaksikan penglibatan semua kakitangan jabatan terbabit termasuk jabatan atau agensi jemputan lain seperti Jabatan Pertahanan Awam (Jpam), Bomba dan Penyelamat, Pejabat Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Perpaduan.

Katanya, dengan penglibatan kakitangan ini, sekurang-kurangnya memberi peluang kepada masyarakat sekitar kampung di sini dapat mengenali kakitangan dan dapat menjalinkan hubungan baik pada masa akan datang.

“Kita akan mengadakan aktiviti seperti ini lebih kerap dan mengharapkan lebih ramai penyertaan supaya objektif utama dapat dicapai,” kata beliau.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");