Berita Hari Ini

Pesanan Jais kepada Ummu Jah

UMMU JAH

SABAK BERNAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengingatkan balu pengasas Al-Arqam, Hatijah Aam atau dikenali sebagai Ummu Jah dan 17 pengikutnya yang lain tidak sesekali memungkiri janji taubat nasuha yang dilafazkan mereka, Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, bagi memastikan Ummu Jah tidak kembali kepada ajaran asal, Jais sudah bersedia untuk mengendalikan kursus pemulihan akidah kepada Ummu Jah dan pengikutnya.

Menurutnya, Ummu Jah dan pengikutnya yang sebelum ini bertekad tidak lagi mengulangi perbuatan mereka mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah itu wajib mengikuti kursus pemulihan itu selama 500 jam.

“Jais akan memastikan Ummu Jah dan pengikutnya mengikuti pelan pendidikan (kursus pemulihan akidah) dan mestilah buat perjanjian (iktikad dalam hati) bahawa mereka bertaubat nasuha dan tidak akan kembali kepada ajaran asal.

“Selain itu juga, kita akan memastikan Ummu Jah memulangkan semua harta anak yatim yang telah diambilnya sebelum ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai lafaz ikrar Ummu Jah dan 400 pengikutnya dalam Majlis Istitabah Pengikut Kumpulan Al-Arqam di Hotel Concorde Shah Alam.

Dalam pada itu, Sallehen yang juga Adun Sabak bekata, Jais akan terus mempergiatkan usaha untuk mengekang dan menghalang ajaran sesat daripada berkembang di negeri ini.

Beliau berkata, jabatan itu juga akan sentiasa memantau penularan ajaran sesat daripada masa ke semasa berdasarkan kepada laporan dan rekod yang telah diwartakan oleh Jais sebagai ajaran sesat.

“Jika individu yang melakukannya (mengamalkan ajaran sesat) agak sukar untuk mengesan mereka, tetapi ajaran sesat dalam sesuatu organisasi itu lebih mudah dikesan kerana pergerakan pengikutnya yang ramai,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");