Laporan Eksklusif

Pesawat Charlie Bawa Bantuan KP1M Berlepas Hari Ini

aziz

Pesawat Charlie C130 TUDM yang digunakan bagi membawa barangan Misi Bantuan Kemanusiaan Taufan Haiyan berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira jam 8.36 pagi tadi.

Pesawat sama yang membawa peserta misi pula berlepas pada jam 9 pagi yang disertai 30 orang termasuk sukarelawan, pasukan perubatan dan petugas media tempatan.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata bantuan yang dibawa pada misi Ke-34 kali ini dianggarkan mampu bertahan selama sebulan untuk diagih-agihkan kepada kira-kira 7,000 keluarga.

“KP1M juga akan memasang khemah perubatan sementara di kawasan bencana yang dikenalpasti bagi memudahkan penyaluran bantuan perubatan.

“Bantuan lain yang dijangka tiba esok akan dapat membantu kira-kira 10,000 keluarga dan saya berharap kami dapat membantu kira-kira 20,000 hingga 25,000 keluarga yang terjejas sepanjang misi ini,” katanya pada sidang akhbar semasa pelepasan pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan taufan Haiyan di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin.

Misi itu membawa bantuan makanan, ubat-ubatan, pakaian, khemah dan produk nutrisi bayi seberat 14 tan dan kedua-dua pesawat itu akan mendarat di Lapangan Terbang Tacloban.

Misi lima hari itu yang turut disertai 20 anggota Angkatan Tentera Malaysia dijangka turun ke kawasan terjejas teruk antaranya Tacloban dan Iloilo.

Sementara itu, kerajaan Malaysia kata Hamzah, akan menyalurkan bantuan berbentuk wang tunai US$1 juta kepada kerajaan Filipina dalam masa terdekat bagi membantu mangsa taufan Haiyan di negara itu.

Tegasnya, bantuan itu dihulurkan selepas mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat bersama Kementerian Luar dan semua agensi terlibat termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dengan bantuan itu, bermakna Malaysia menyumbangkan bantuan melebihi US$1 juta termasuk bantuan berbentuk barangan keperluan seperti makanan, perubatan yang bernilai kira-kira RM1 juta,” katanya lagi.

Bagi mengenalpasti bentuk bantuan lanjut yang diperlukan mangsa taufan Haiyan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) dianggotai 20 orang katanya, akan ke ‘ground zero’ untuk membuat kajian mendalam mengenainya.

Mengulas mengenai kelewatan Malaysia menghantar bantuan itu, beliau berkata ia kerana Malaysia belum mendapat kebenaran mendarat berikutan keadaan semasa yang tidak mengizinkan.

“Dan bantuan ini hanya dapat disalurkan selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan Filipina,” katanya.

Ditanya mengenai bantuan kemanusiaan yang disalurkan KP1M, Hamzah berkata, bantuan yang dibawa untuk misi membantu mangsa taufan Haiyan bernilai RM500,000 dan bantuan dengan nilai yang sama dijadual diterbangkan esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");