Jenayah

Warga emas mati dipukul

warga mas mati dipukul

BATU PAHAT – Seorang warga emas berbangsa Cina dijumpai mati di bilik kecil di belakang kedai miliknya di Taman Banang dalam keadaan berdarah di kepala dipercayai dipukul dengan benda keras.

Siasatan awal polis mendapati motif kejadian adalah samun dan suspek dipercayai memukul mangsa dan mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa pada jam 9.20 pagi semalam dan sepasukan polis terus ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa, Lau Pow Ling,74, dijumpai mati oleh salah seorang ahli keluarganya di dalam kedai setelah mereka memecah pintu masuk, apabila tiada jawapan ketika ahli keluarga memanggilnya.

“Terdahulu, mangsa yang tinggal sendirian di kedai terbabit cuba dihubungi ahli keluarga seawal jam 6.30 pagi lagi.

“Bimbang keselamatan mangsa, ahli keluarga datang ke kedai dan memanggil beberapa kali, namun tiada jawapan.

“Mereka terus memecah pintu masuk dan mendapati mangsa mati di bilik bahagian belakang kedai berkenaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa turut disamun berdasarkan keadaan dalam kedai yang berselerak.

Katanya, ketika ditemui, mangsa dalam keadaan terbaring di bilik bahagian belakang kedai dengan luka di kepala, dipercayai dipukul dengan menggunakan kayu besbol.

“Terdapat kesan pecah di bahagian siling kedai dan kaunter berselerak. Motif kejadian dipercayai samun dan bunuh.

“Siasatan masih lagi diteruskan dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat diminta tampil untuk bantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Teo, 45, berkata, dia dan ahli keluarga lain menghubungi mangsa jam 6.30 pagi, namun tiada jawapan dan terus ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, kami cuba memanggil mangsa dan mengetuk pintu beberapa kali dan kami memecahkan pintu kerana terlalu risau.

“Kami terus memanggilnya, namun tiada jawapan dan salah seorang daripada kami telah menemuinya di bilik kecil di bahagian belakang kedai dengan keadaan kepala berdarah,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");