Perak Hari Ini

Masalah Bekalan Air Bersih Kg Sabar Jaya, Sungkai Selesai: DS Zambry

mb air sabarKeprihatinan kerajaan negeri menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk Kampung Sabar Jaya dekat Sungkai, melalui Lembaga Air Perak (LAP) menunjukkan kebajikan rakyat di kawasan pedalaman tidak pernah diabaikan.

Sebelum ini, rata-rata penduduk  kampung itu terpaksa mengangkut air lebih daripada tiga kali sehari untuk keperluan harian yang diperoleh melalui bekalan air tanah, perigi serta sungai.

Seorang penduduk yang ditemui Peraktoday.com, Maziyah Salleh, 44, berkata sebelum ini, dia terpaksa mengangkut air menggunakan motosikal lebih daripada tiga kali sehari untuk keperluan harian.

“Saya tinggal di sini hampir sejak berumur 21 tahun dan hampir setiap hari terpaksa menganggkut air di kawasan terdekat mahupun jauh berbaldi-baldi bagi aktiviti seperti memasak serta membasuh pinggan.

“Manakala untuk membersihkan diri pula, saya terpaksa ke sungai-sungai mahupun perigi berhampiran.

“Memang sangat sukar jika kekurangan bekalan air tetapi saya tetap sabar sehingga hari ini dan Alhamdulillah, kesabaran saya berbaloi apabila Menteri Besar sendiri turun melancarkan projek bekalan bersih air ini,” ujarnya dengan nada gembira.

Maziyah yang mempunyai tiga orang anak menzahirkan rasa syukur dengan keprihatinan kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan itu kepada seluruh penduduk kampung tersebut.

Bagi Abdul Razak Che Mat, 70, yang juga penduduk pertama yang mendapat bekalan air itu berkata, bantuan kerajaan negeri amat dihargai dan beliau bersyukur kerana tidak perlu menggali tanah mahupun ke telaga bagi mendapatkan bekalan air.

Katanya, beliau sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sanggup menghulurkan bantuan kerana mereka terpaksa bersabar selama lapan tahun untuk mendapatkan bekalan air bersih terutamanya bagi kegunaan harian.

Kesungguhan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turun padang meninjau sendiri keadaan penduduk kampung tersebut membuktikan pemimpin itu sangat menitikberatkan masalah yang dihadapi penduduk kampung sejak 20 tahun lalu.

Katanya, kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif itu melalui projek Corporate Social Resposibility (CSR) LAP yang memperuntukkan sejumlah RM525, 000 bagi menyediakan paip bagi menyalurkan air ke setiap 42 buah rumah di kampung itu.

“Walaupun paip air telah digunakan di peringkat awal, namun disebabkan masalah kedudukan kawasan kampung itu berbukit dan tekanan air yang rendah, maka air tidak dapat disalurkan sepenuhnya kepada mereka.

“Oleh sebab itu, pihak LAP mengambil satu lagi inisitif dengan membina rumah pam khas membantu mengakhiri masalah yang dihadapi 350 penduduk Kampung Sabar Jaya,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan projek bekalan air bersih Kampung Sabar Jaya, dekat Sungkai, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Rusnah Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib, Ketua Kampung Sabar Jaya, Zamri Mat Sah dan Pengurus Besar LAP, Datuk Yusof Mohd Isa.

Tambahnya lagi, isu kelewatan yang timbul selama ini adalah disebabkan kedudukan kawasan yang berada di pedalaman selain penyambungan paip daripada laluan utama ke kawasan kampung tersebut yang melibatkan kawasan tanah penduduk.

“Tetapi, berkat usaha kita yang berterusan, akhirnya penduduk serta tuan tanah membenarkan pemasangan paip merentasi tanah mereka untuk projek ini.

“Paip yang akan dipasang berukuran 6 km  panjang dan melibatkan bantuan tangki sedut serta pam dan kerja-kerja pemasangan dimulakan dari 1 April dan siap sepenuhnya pada 15 November lalu,” jelas Zambry.

Beliau turut menasihatkan supaya pihak-pihak tertentu agar tidak mempolitikkan projek di kawasan itu hanya untuk meraih perhatian pengundi.

“Tidak ada gunanya kita menggunakan kesempatan ini untuk meraih laba politik masing-masing kerana kita di sini hanya untuk membantu rakyat sekaligus mencari jalan terbaik untuk membantu mereka.

“Menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalurkan bantuan kemudahan infrasruktur serta keperluan asas kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Zambry turut berharap agar penduduk kampung itu dapat menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik-baiknya.

Di majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk miskin yang juga pesakit angin ahmar, Salleh Abdul Rashid dan Mat Rashid Awang yang menghidap penyakit kencing manis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");