Isu Panas

PWTC semakin meriah

umno 2

KUALA LUMPUR – Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi lokasi Perhimpunan Agung Umno 2013 bertambah rancak dengan pelbagai aktiviti dan kehadiran orang ramai yang bertali-arus, membangkitkan semangat menjelang pertemuan terbesar parti Melayu itu, esok.

Momentum perhimpunan yang bermula semalam dengan Persidangan Mahasiswa Nasional Negara semakin meningkat dengan kehadiran peminat politik dari dalam dan luar negara untuk menyertai Forum Antarabangsa 2013 yang bermula hari ini.

Forum dua hari bertajuk ‘Kesederhanaan Politik Ke Arah Keamanan dan Kestabilan itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Tun Hussein Onn hari ini.

Forum itu telah menarik penyertaan tokoh politik terkemuka dunia termasuk pemimpin Hamas, Khalid Meshaal selain calon Presiden Indonesia mewakili Parti Golkar, Aburizal Bakrie dan bekas Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo Musyoka.

Selain itu, buat pertama kalinya Singapura akan menghantar pemimpin bertaraf menteri dari People Action Party (PAP) dan penyertaan sulung Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y Yun.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata penyertaan delegasi asing dalam forum itu bagi bertukar-tukar fikiran dengan anggota Umno serta pemerhati luar negara lain, menjadikan parti itu sebagai landasan untuk mengukuhkan hubungan parti politik global.

Dalam pada itu, kawasan sekitar PWTC yang mempunyai keluasan lebih 160,000 meter persegi dengan lebih 240,000 meter persegi ruang pameran, bertukar wajah, apabila warna merah dan putih, iaitu warna rasmi Umno mendominasi kebanyakan ruang bangunan yang merupakan antara mercu tanda di ibu negara.

Apa yang pasti, PWTC sudah bersedia untuk menyambut kehadiran ribuan pengunjung, termasuk seramai 5,726 anggota perwakilan Umno dari seluruh negara yang dijadual menghadiri perhimpunan yang akan berlangsung sehingga Sabtu ini. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");