Perak Hari Ini

Tidak Peduli Cemuhan Masyarakat, Pelatih OKU Gigih Berusaha Capai Impian

PERAK TODAY 7

Berbekalkan semangat serta sokongan kuat daripada keluarga, Mai Zirah Alang Mohamed Zin, dianugerahkan sebagai penerima khas sempena Majlis Graduasi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang berlangsung di Ipoh, hari ini.

Beliau yang juga pemilik gerai makanan Lah TomYam dekat Batu Gajah, sebelum ini mengakui seringkali dicemuh masyarakat sekeliling ekoran daripada keadaannya yang telah kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya, dua minggu selepas melangsungkan perkahwinannya pada tahun 1984.

“Kalau ikut hati, memang saya rasa terhina dan lemah semangat apabila dikritik masyarakat setempat yang kurang senang dengan keadaan saya.

“Namun, keinginan serta keyakinan tinggi yang ada dalam diri membuatkan saya tidak mengendahkan setiap cemuhan yang diterima sebaliknya mengambil pandangan negatif tersebut sebagai kekuatan untuk saya meneruskan minat dalam bidang masakan,” ujarnya kepada pemberita.

Cabaran ditinggalkan suami dan diisytiharkan sebagai ibu tunggal pada tahun 2000 membangkitkan lagi semangat Mai Zirah untuk meneruskan usahanya untuk mengusahakan perniagaan serta menyertai program yang disediakan kerajan sehingga ke hari ini.

“Di mana ada peluang untuk saya mengembangkan lagi perniagaan, tanpa segan silu, saya akan menyertainya terutama anjuran kerajaan.

“Sejak di bangku sekolah lagi, minat yang mendalam dalam bidang masakan menyebabkan saya sering mengikuti kursus seperti ini,” jelas wanita gigih itu yang tinggal bersama dua orang anaknya yang berumur 25 dan 27 tahun.

Setelah lebih 10 tahun membuka gerai makanan dengan kerjasama adik-beradiknya, Mai Zirah bercadang memantapkan lagi perniagaannya memandangkan telah mengikuti kursus I-KIT dan I-KEUNITA selama tiga bulan dalam bidang masakan barat di DJS Cake Craft, dekat Buntong.

“Saya sangat terkejut dan terharu dengan penganugerahan ini dan ia adalah hasil daripada semangat dan sokongan daripada pihak keluarga dan kerajaan yang sentiasa menghargai golongan seperti saya,” ujarnya.

PERAK TODAY 6

Manakala bagi seorang lagi kelainan upaya, Noramirah Siwami Abdullah, 53, kekurangan ketinggian sering menjadi perhatian dan bualan masyarakat yang pelik dengan keadaannya.

Namun, pandangan masyarakat tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang menyara kehidupannya yang sebatang kara.

“Saya tidak kisah dengan pandangan orang ramai…apa yang saya lakukan semua datang dari hati. Mereka yang bercakap-cakap tentang kita tidak langsung menyumbang apa-apa, jadi kenapa kita harus peduli dengan kata-kata mereka.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang menyertai kursus selama lapan hari di Rumah Rehat Kampar dalam bidang kraftangan sulaman reben di mana kini kraftangan tersebut menjadi tumpuan pembeli,” jelas Nuramirah Siwami.

Menetap di rumah kebajikan Baitulmal Jalan Kampar, dia memberitahu sangat gembira menyertai kursus ini apabila dapat mempelajari suatu benda baru selain mencurahkan minat dalam bidnag yang sememangnya menjadi minatnya.

“Selepas ini, saya bercadang mahu meneruskan perjuangan menghasilkan kraftangan yang bermutu dan cantik supaya hasil tersebut dapat diketengahkan ke persada dunia,” tambah Nuramirah Siwami yang berkeinginan membuka kedai kraftangan sendiri.

PERAK TODAY 3

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");